Boikot Sebabkan Isu Perkauman & Seksis Punca Golden Globes Tidak Disiarkan

Share

 

Kebiasaan, kemeriahan musim anugerah pada setiap awal tahun akan dimulakan oleh acara Golden Globes yang cukup berprestij dan dinanti-nantikan oleh orang ramai.

Masakan tidak, Golden Globes merupakan acara yang menjadi penanda aras terhadap segala ramalan bagi kategori filem yang dicalonkan untuk acara-acara anugerah berikutnya seperti Screen Actor Guild Awards (SAGs), BAFTA Awards, Critic Choice Awards dan penutup gemilang di Anugerah Akademi atau Oscars.

Golden Globes yang berlangsung pada hari ini bagaimanapun tampak berlainan apabila ia tidak semeriah tahun-tahun lalu. Ruang media sosial tidak ‘gegak-gempita’ dengan klip momen-momen menarik. Tiada juga foto-foto rasmi yang memperlihatkan gaya fesyen selebriti terkenal di karpet merah.

Ini kerana Golden Globes 2022 tidak disiarkan secara langsung di saluran NBC. Acara karpet merah bagi meraikan para pengkarya televisyen dan filem juga dibatalkan sama sekali.

Senario ini bukan disebabkan oleh ancaman varian COVID-19 tetapi disebabkan oleh tindakan boikot penggiat industri seni di Hollwyood terhadap penganjur acara, HFPA atau dikenali sebagai the Hollywood Foreign Press Association.

Menurut laporan, majoriti firma perhubungan awam (PR) yang mengendalikan para selebriti, produksi filem dan drama telah sebulat suara memboikot acara Golden Globes yang dituduh sebagai penganjur seksis dan rasis.

HFPA dilaporkan tidak melantik seorang pun panel juri berkulit hitam atau wakil wartawan berkulit hitam dalam kalangan 87 orang yang terlibat dalam pemilihan pemenang.

Beberapa aktres terkenal seperti Scarlett Johansson pula mendakwa dirinya menjadi mangsa pertanyaan seksis sewaktu acara anjuran HFPA dilangsungkan tidak lama dahulu.

Lebih malang lagi apabila muncul dakwaan berlakunya kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan ahli HFPA.

Oleh yang demikian, sesetengah syarikat produksi besar seperti Netflix telah mengambil tindakan lebih proaktif untuk memboikot dan tidak membenarkan klip karya produksinya dimainkan di Golden Globes 2022.

Sentimen sama turut disuarakan oleh produksi Disney yang beranggapan kegemilangan acara Golden Globes telah ‘diranapkan’ oleh HFPA sendiri. Majoriti penggiat seni kini melaungkan kebencian terhadap HFPA yang selama ini ‘bermaharajalela’ menjadi penganjur walaupun hakikatnya penganjuran mereka bermasalah.

Dengan ketiadaan karpet merah, sidang media dan program siaran langsung, acara Golden Globes 2022 ibarat langsung tidak diadakan. Apa yang telah dilakukan oleh penganjur pada sebelah pagi tadi hanyalah mengumumkan senarai pemenang di media sosial dan trofi anugerah akan dihantar ke alamat pemenang pada keesokan harinya.

Untuk pengetahuan, antara nama-nama besar yang dinobatkan sebagai pemenang pada edisi kali ini termasuklah Will Smith (King Richard), Nicole Kidman (Being the Ricardos) dan Andrew Garfield (tick, tick…BOOM!). Bagaimanapun, tiada seorang pun buat masa ini yang telah memberi ucapan mengenai kemenangan mereka sebagai tanda boikot.

Lebih mengecewakan apabila pelakon terkenal, Tom Cruise juga dilaporkan mengembalikan semula tiga trofi Golden Globes yang pernah diterimanya sebelum ini.

Boikot ini juga membuatkan ramai terkilan tidak dapat melihat pelakon O Yeong-su yang terkenal menerusi drama Squid Game menaiki pentas bagi menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Bagi Siri, Mini Siri atau Filem Televisyen.

ARTIKEL BERKAITAN :‘Atuk’ Squid Game Menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Golden Globes 2022 – REMAJA

Jujurnya, ramai yang kecewa dengan ketiadaan acara Golden Globes yang dianggap sebagai acara wajib bagi memulakan musim anugerah di Hollywood. Namun jika inilah pengorbanan yang perlu dilakukan demi meningkatkan semula martabat Golden Globes sebagai peneraju acara anugerah pada masa akan datang, kami pasti ramai yang akan kembali memberi sokongan apabila ia dianjurkan semula pada tahun 2023.

BACA LAGI : Perang Warna! 8 Fesyen Paling ‘Win’ Di Golden Globes 2021 – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ