Satu ketika dulu, tular di media sosial apabila pengguna Twitter ini memuat naik gambar kad pengenalan yang dilihat namanya bercampur antara nama Melayu dan Jepun.
Persoalannya, adakah dibenarkan untuk rakyat Malaysia memberikan nama-nama asing? Atau ada juga yang menamakan anak mereka dengan nama-nama yang pelik. Kalau kita lihat nama pada zaman dahulu mungkin sedikit aneh kerana masyarakat pada ketika itu kurangnya pendidikan dan hanya beri nama apa yang mereka tahu sahaja.
Menurut Ask Legal, secara undang-undang bukanlah satu kesalahan untuk menamakan seseorang itu dengan nama buah atau nama Jepun. Namun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah menetapkan garis panduan yang menghalang nama-nama yang boleh menyinggung dan tidak sesuai.
Seksyen 16, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 ada menyebut:
Jika pada pendapat pendaftar bahawa nama kanak-kanak yang diminta untuk dicatatkan ke dalam suatu daftar kelahiran itu adalah tidak menyenangkan atau tidak diingini, dia hendaklah merujuk perkara itu kepada Pendaftar Besar dan Pendaftar Besar boleh menyebabkan nama itu didaftarkan atau tidak didaftarkan sebagaimana yang difikirkannya patut.
Pendaftar mempunyai kuasa untuk menolak nama yang tidak diingini dan nama itu tidak akan diterima oleh pihak pendaftaran seperti mana dalam akta.
Berikut adalah antara jenis-jenis nama dan senarai kriteria nama-nama yang tidak akan diterima di Malaysia.
• Nama yang boleh membawa makna menyinggung: Contohnya, nama Woti yang membawa maksud hubungan seks, ia adalah dilarang sama sekali untuk digunakan
• Nama yang ada singkatan perkataan: Kalau korang ada rancangan nak bagi nama anak dengan gabungan nama lain, tapi nama tu tak muat pada kad pengenalan dan korang pun pendekkan dengan huruf seperti ABCD, maka JPN tidak akan menerima nama tersebut
• Nama yang merujuk profesion tertentu: Walaupun ada mak ayah yang nak anaknya jadi doktor atau jurutera bila dewasa nanti, tapi tak boleh bagi nama anak korang dengan gelaran DR atau IR.
• Gelaran yang dianugerahkan oleh kerajaan: Bagi nama anak dengan gelaran Dato’ Sri atau Tan Sri yang hanya boleh dianugerahkan oleh kerajaan juga adalah dilarang sama sekali
• Nama haiwan: Monyet, Lipan, Babi, Ular, dll
• Kejadian alam: Hujan, Batu, Angkasa, Panas, dll
• Nama dari angka: 007 atau kosongkosongtujuh, K9
Sebenarnya, terdapat peningkatan bilangan orang yang nak tukar nama asal mereka di Malaysia kerana nama yang tidak sesuai. Contohnya, nama yang mungkin tidak sesuai dengan jantina tertentu atau boleh merujuk kepada haiwan, cuaca atau menamakan seseorang berdasarkan nombor/digit
Korang mesti pernah dengar nama-nama seperti Syed/Syarifah atau Nik di Malaysia. Jadinya, untuk guna gelaran ini korang mesti dapatkan kebenaran dari pihak berkuasa dan kena buktikan yang korang memang dari keturunan yang membawa gelaran tersebut.
Perkara seperti ini boleh terjadi jika seseorang itu tidak tahu konteks makna namanya dalam bahasa lain. Berikut contoh tiga kategori bahasa utama di Malaysia yang antaranya dikelasan sebagai nama tidak sesuai:
• Bahasa Melayu: Zaniah (pelacur), Khinzir (babi), Ketiak dan Kemek
• Bahasa Mandarin/Hokien: Ah Chaw (ular), Khiow Choo (bongkok) dan Chow Tow (kepala berbau)
• Bahasa Tamil: Kalavani (pencuri), Karrupasamy (dewa hitam) dan Motayyan (lelaki botak)
Nama terpanjang di Malasia dipegang oleh seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Princess Aura Nurr Emily Amara Auliya Bidadari Nawal Eh Zendra Mohd Suffian yang mempunyai 63 aksara dan 12 perkataan.
JPN juga telah membuat pengumuman bahawa nama tidak melebihi 80 aksara supaya ia muat di tulis di dalam kad pengenalan. Sila ambil perhatian – jarak antara nama tu pun dikira sebagai aksara tau.
Walau bagaimanapun, nama yang panjang atau bawa makna yang tidak baik bukan bermaksud seseorang itu membuat kesalahan di Malaysia. JPN memberi kebebasan penuh kepada ibu bapa untuk beri nama kepada anak-anak mereka asalkan selaras dengan peraturan.
Jika kedua-dua ibu bapa sudah setuju untuk namakan anak mereka dengan nama tertentu, tidak ada peraturan tegas yang mengatakan tidak boleh. Ia juga mengikut budi bicara pendaftar sama ada nama itu boleh diterima atau digunakan.
Ha, sekarang korang dah faham kan? Semoga informasi ini sedikit sebanyak pengetahuan baru untuk kita semua.
Sumber: Ask Legal