Boleh Ke Mandi Telanjang? Ustaz Beri Penjelasan Betul Ke Jin Jilat Tubuh Kalau Tak Tutup Aurat

Share

Ramai yang senang mandi dalam keadaan bogel. Lucut saja pakaian terus angkat gayung dan mandi sebelum keluar 10 minit kemudian.

Biar pun ada beberapa pandangan ulamak mengenai isu boleh atau tidak mandi bogel, Moderator Al-Quran & Penulis Buku, Ustaz Khairul Anuar berkata, perbuatan menutup tubuh dengan kain ketika mandi melatih sifat malu seorang individu.

Tidak digalakkan mandi bogel – Ustaz Khairul

Mengupas perbuatan kenapa tidak boleh mandi bogel, sebenarnya tiada kesepakatan yang jelas mengenainya tetapi menutup aurat ketika mandi lebih kepada soal adab.

“Perlu kita fahami, umur kecil adalah peringkat didikan terawal. Jika terlepas pendidikan seawal usia ini, maka kita akan terlepas peluang yang lebih besar,” katanya memulakan bicara. 

“Dalam erti kata lain, jika kita membiarkan usia berlalu begitu sahaja, misalannya tidak menerapkan solat di usia anak tujuh tahun, begitu juga pada usianya 10 tahun dan seterusnya, maka kita akan terlepas peluang yang lebih besar kerana anak-anak akan semakin liat mendirikan solat kerana sudah tidak diajar dari kecil.

“Sama jugalah dengan ajaran menggunakan kain ketika mandi. Kalau diasuh dari kecil tentang malu, bila anak semakin besar dia akan rasa malu kalau tubuhnya terdedah begitu saja.

Teori jin menjilat tubuh adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan

Apa yang penting ia lebih kepada adab sopan kita sebagai orang Islam,” katanya menjelaskan, jika anak tahu menjaga erti malu itu, bila dia keluar duduk di asrama, tinggal di universiti atau mandi-mandi di tempat awam, dia akan tahu menjaga malunya itu sekaligus akan menutup auratnya dengan sendiri,”katanya memberi huraian.

Menyentuh soal malu yang harus ditanam dan wajib ada dalam diri seorang muslim, jelas Ustaz Khairul, menutup aurat ketika mandi itu digalakkan kerana kita menjaga adab kita dengan yang maha melihat iaitu Allah SWT.

“Ini samalah seperti tandas yang mengadap kiblat. Ikutkan tidak boleh tetapi Islam tidaklah sehingga ketat peraturannya. Bukan soal mandi sahaja, ibu bapa di rumah misalannya harus menjadi cerminan kepada anak-anak.

 

Ada mak dan ayah yang tak segan silu memakai seluar pendek dalam rumah dan dihadapan anak-anak. Tiada yang salah dalam soal ini tetapi ia lebih kepada adab di hadapan anak-anak.

“Bayangkan jika anak ada perasaan dan keinginan untuk memakai seluar pendek hingga paras peha di luar kerana dia melihat perbuatan ibu dan ayahnya. Kita mungkin marah tetapi kita menjadi contoh tidak baiknya,”

“Memang tiada batas aurat kita dengan anak dan suami tetapi ia bukan contoh dan adab yang baik,” katanya yang menyarankan remaja atau individu yang suka mandi bogel agar mengambil kain menutup aurat demi menjaga adab dan melatih sifat malu.

Published by
Almaswa Haji Che Ros