Setelah hampir tiga bulan sekolah dan institusi pendidikan ditutup. Hari ini Kementerian Pendidikan telah memutuskan cadangan bahawa satu kelas hanya boleh menempatkan purata maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan iaitu Dr Mohd Radzi Jidin, kementerian sudah pun membuat percubaan lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang wajar dalam satu kelas berdasarkan keluasannya, supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan untuk mengelak penularan Covid-19.
Mengikut laporan Berita Harian, cadangan ini merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah yang akan diperincikan.
Menurut beliau, jika dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang.
Belajar di Dewan Besar
Hal ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.
Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas Covid-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan para pelajar.
Sementara itu, Dr. Mohd Radzi juga berkata, SOP di kantin juga akan diperketatkan dengan memastikan ia tidak sesak.
Apa pendapat korang dengan cadangan Kementerian Pendidikan ini bagus atau tidak?Emmm…
Sumber: Berita Harian
Qatar Airways Beri 100,000 Tiket Penerbangan Percuma Untuk Frontliners Sebagai Tanda Terima Kasih
Sejak beberapa bulan yang lepas, petugas barisan hadapan negara merupakan antara individu penting kepada masyarakat dalam menangani situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Sudah tentu tidak ada apa yang boleh diberikan oleh kita kepada mereka yang bertungkus-lumus siang dan malam, sehinggakan ada yang terpaksa meninggalkan keluarga untuk pergi bertugas adalah satu pengorbanan besar yang perlu dihargai.
Ramai individu mahu pun badan-badan kebajikan mengambil inisiatif dalam memberikan bantuan kepada petugas frontliners di hospital.
Tidak hanya itu, syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways juga menunjukkan rasa penghargaan mereka dengan menawarkan 100,000 tiket percuma kepada profesional penjagaan kesihatan di seluruh dunia sebagai tanda terima kasih dalam pengorbanan mereka membantu merawat pesakit COVID-19.
Menurut satu kenyataan daripada agensi berita Anadolu, profesional penjagaan kesihatan di setiap negara dunia layak mendapat tiket percuma.
Tawaran akan dibuka pada 12 hingga 18 Mei dan pendaftaran boleh dibuat di laman web qatarairways.com/ThankYouHeroes
Mereka yang berjaya akan menerima kod promosi untuk menempah sehingga dua tiket pergi balik kelas ekonomi secara percuma untuk penerbangan yang dikendalikan Qatar Airways ke mana sahaja di rangakain global syarikat penerbangan tersebut.
Qatar Airways akan kembali membuka semula operasi tidak lama lagi selepas ditangguhkan sementara kerana wabak COVID-19.
Inilah yang dinamakan rezeki. Walaupun mungkin tidak dapat membayar segala penat-lelah dan usaha mereka, namun setidak-tidaknya ada juga pihak yang begitu prihatin dan menghargai setiap pengorbanan petugas barisan hadapan.
Sumber: Sinar Harian
Cerita Sebenar Kes 9 Orang Dikompaun Kerana ‘Jogging’ Di Shah Alam
Jadi, boleh jogging atau tidak sebenarnya..?
Sejak perintah total lockdown dilaksanakan bermula 1 Jun lalu, tidak begitu banyak kes rakyat yang dikompaun telah kita dengari. Masing-masing nyata menjalankan tanggungjawab masing-masing demi melandaikan jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia.
Biarpun bergelar total lockdown, namun kita masih diberikan kelonggaran untuk ke luar rumah demi urusan penting. Selain itu, kita juga diberikan peluang untuk meneruskan aktiviti jogging di kawasan luar dengan syarat ia dilakukan secara persendirian.
Jadi apabila timbul isu beberapa orang dikompaun di Taman Tasik Seksyen 7 dan Taman Seksyen 14 dekat Shah Alam, ramai yang tertanya-tanya apakah kesalahan yang telah mereka lakukan?
Bukankah aktiviti jogging ini dibenarkan?
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, kompaun itu telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengikut Sesyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana didapati tidak mematuhi arahan PKP dengan memasuki taman-taman awam yang telah ditutup bermula 1 hingga 14 Jun ini untuk beriadah atau jogging.
Malah, terdapat gegantung di dua taman tasik tersebut yang memaklumkan mengenai penutupan sementara kawasan tersebut.
Tidak cukup dengan itu, MBSA juga telah memasang pita larangan di setiap pintu masuk bagi memastikan tiada individu yang menceroboh masuk sepanjang tempoh PKP ini.
Buat masa ini, MBSA berkata bahawa pihak berkuasa yang memantau lebih 20 buah taman tasik di sekitar Shah Alam dari awal pagi hingga ke lewat malam.
Dipercayai, ramai penduduk di kawasan berdekat yang masih berdegil membawa anak-anak dan bayi mereka untuk beriadah biarpun arahan sudah dikeluarkan.
*
Bagi kita yang masih ingin jogging, korang masih boleh berbuat sedemikian di sekitar kawasan kejiranan masing-masing secara sendiri. Tiada aktiviti secara berkumpulan yang dibenarkan sama sekali.
Jika sudah dikompaun kelak, jangan pula kata pihak berkuasa tidak memberikan arahan yang jelas ya.
Pelakon Akui Ikut Ajaran Sesat, Bahaya Ajaran Millah Abraham Di Malaysia
Umat lslam hari ini memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi, dengan Islamphobia, pelbagai pendemik dan paling teruk ialah cabaran akidah yang boleh mengancam keselamatan akidah umat lslam sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dah Lama Perasan Tempat Ni,” Wujud Ajaran Ayah Pin Versi Baharu Di Lembah Klang?
Ancaman ajaran sesat adalah paling merbahaya kepada akidah umat lslam yang dibawa oleh individu atau golongan tertentu.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan seorang pelakon aksi, Pablo Amirul mengenai ajaran sesat Millah Abraham selepas ia tular di media sosial. Apa yang lebih mengejutkan, pelakon Polis Evo itu juga mengakui pernah terjebak dan kini menyesal mengikuti ajaran sesat tersebut.
Dalam masa sama, pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu memaklumkan sudah dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bakal bertemu jabatan agama dalam masa terdekat.
Terdahulu, menerusi perkongsian secara langsung di Facebook (FB), Pablo mendedahkan dirinya sudah dua tahun mengikuti ajaran sesat berkenaan. Jelas Pablo, dia berbuat demikian selepas mengikuti seorang wanita yang juga bekas kekasihnya dipercayai juruterbang.
Ajaran Millah Abraham Terpesong Dan Sangat Merbahaya
Ajaran Millah Abraham telah difatwakan sebagai menyeleweng dan bertentangan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) Kali Ke-109 pada 2016.
Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.
Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan artikel mengenai Millah Abraham di ruangan Bayan Linnas yang ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri satu ketika dahulu.
Millah Ibrahim & Penyelewengan Yang Terdapat Di Dalamnya
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut:
1) Mendakwa Ada Rasul Selepas Nabi Muhammad SAW
Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen ketika itu Allah akan menghantar rasul atau messiah (bahasa Ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri. Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولٞۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمۡ قُضِيَ بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ٤٧
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
(Yunus: 47)
Mereka menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Ibrahim@Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq seperti mana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini.
2) Menggabungkan Tiga (3) Ajaran Agama Iaitu Islam, Kristian dan Yahudi
Selain terjemahan Al-Quran, mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam Al-Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi. Sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Maidah, ayat ke- 46 yang bermaksud:
وَقَفَّيۡنَا عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِم بِعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ ٱلۡإِنجِيلَ فِيهِ هُدٗى وَنُورٞ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَهُدٗى وَمَوۡعِظَةٗ لِّلۡمُتَّقِينَ ٤٦
Maksudnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Mereka mendakwa ayat ini selaras dengan Injil Metius (perjanjian baru) 5/17. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa Taurat, Injil dan Al-Quran akan ditegakkan semula dalam kerajaan baru. Oleh itu, selain Al-Quran mereka mendakwa bahawa kedua-dua kitab tersebut tidak boleh ditolak untuk dijadikan panduan bagi menegakkan deen.
3) Meninggalkan Solat Lima Waktu & Solat Jumaat
Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Ibrahim bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deen itu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-78:
وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨
Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
(Al-Hajj: 78)
Selain itu, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguh-sungguh menegakkan deen.
4) Mengadakan Bai’ah (perjanjian) Oleh Anggota Millah Ibrahim
Kumpulan ini juga mewajibkan anggotanya untuk membuat akujanji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah tertegaknya deen, bukannya mengharapkan pahala. Mereka juga mengatakan bahawa wajib bagi seorang isteri yang ingin menyertai Millah Ibrahim menuntut cerai jika suami menolak menyertai kumpulan ini atau sebaliknya.
**
Untuk info, setiap pengikut ajaran Millah Abraham perlu membayar wang untuk bertaubat, menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan, menggunakan kelas al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.
Itu sebahagian dari modus operandi dan strategi ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.
Semoga Allah S.W.T melindungi dan memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dalam menjalani kehidupan yang sedang kita tempuhi ini dengan sentiasa mendapatkan inayah daripada-Nya. Ameen.
BACA : Pelakon Remaja Ikuti Gerakan Agama Sesat? Syrul Ezwan Bagi Penjelasan
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.