Mandi wajib atau mandi junu juga disebut sebagai mandi hadas besar adalah mandi yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar dan melibatkan perbuatan mandi dengan membasahi seluruh anggota badan. Hukum mandi hadas adalah wajib ke atas individu Muslim untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar.
Seseorang Muslim perlu mengerjakan mandi wajib dalam keadaan berikut:
• Jimak
• Keluar air mani dengan sengaja atau tidak
• Keluar darah haid
• Nifas
• Wiladah
• Mati
• Masuk Islam orang dari ajaran sebelumnya (kafir)
Rukun mandi hadas ada tiga perkara iaitu:
• Niat dengan tujuan membezakan ibadat dan adat. Niat ini sekadar dilafazkan di dalam hati dan tidak perlu dilafazkan secara zahir (secara lisan)
• Menghilangkan kotoran dan najis pada badan
• Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk segala lipatan-lipatan badan
Cara mandi wajib paling afdal sekiranya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Berdasarkan hadis dari Aisyah RA:
“Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), beliau membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwuduk sebagaimana berwuduk untuk solat. Lalu beliau mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga beliau menganggap telah cukup, beliau tuangkan ke atas kepalanya sebanyak 3 kali tuangan. Setelah itu beliau guyur seluruh badannya. Kemudian beliau basuh kedua kakinya”
(HR. Al Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, ada yang keliru adakah boleh seseorang yang mandi hadas besar mengerjakan solat tanpa mengambil wuduk?
Jawapan:
Apabila seorang itu ada dua hadas yaitu hadas besar dan hadas kecil kemudian dia melakukan bersuci dari hadas besar nescaya hadas kecilnya itu turut terangkat sama.
Maka sah dia kerjakan solat tanpa diwajibkan lagi mengangkat hadas yang kecil yaitu berwuduk akan tetapi disunatkan ke atasnya mengambil wuduk juga.
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:
Ertinya: “Apabila berhimpun atas seseorang itu hadas kecil iaitu wuduk dan hadas besar yaitu mandi maka padanya berlaku khilaf. Pendapat yang sahih yang difatwakan dengannya memadai baginya oleh mandi sekelian badannya dengan niat mandi dan tidak wajib atasnya menghimpunkan antara wuduk dan mandi dan tiada perlu tertib pada yang demikian itu.” (Kitab Kifayatul Akhyar)
Dan berkata Imam Suyuthi:
Ertinya: “Apabila berhimpun dua perkara dari jenis yang sama dan tiada bersalahan oleh tujuan keduanya nescaya masuklah salah satunya pada yang satu lagi secara ghalib. Maka setengah dari furu’ yang demikian itu apabila berhimpun hadas kecil dan janabah nescaya memadai oleh mandi atas pendapat mazhab sebagaimana berhimpun oleh janabah dan haidh.” (Kitab Al-Asybah Wa Nazha_ir)
Kesimpulannya, jika korang mandi hadas besar maka tidak wajib lagi berwuduk untuk solat atau seumpamanya. Namun begitu, jika individu itu mengambil wuduk sahaja tanpa mandi hadas, nescaya dia masih berhadas besar dan tidak boleh mengerjakan solat.
Lebih afdhal, lakukan kedua-duanya iaitu mengambil wudhuk dan mandi kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW yang mengambil wuduk terlebih dahulu kemudian mandi hadas.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberikan ilmu kepada korang semua. Wallahualam!
Sumber: Ustaz Azhar Idrus