Khabar gembira buat semua peminat drama bersiri Melayu & Jepun di Malaysia!
Drama adaptasi yang walaupun belum lagi ditayangkan tetapi sudah menjadi bualan di media sosial iaitu drama bersiri Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi (KTCH) lakonan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar dan Dewi Remaja 2018/2019, Arena Wan.
Diadaptasi daripada drama popular Jepun ‘Mr. Hiiragi’s Homeroom’ karya Shogo Muto yang diterbitkan oleh Nippon TV itu telah menerima pelbagai reaksi menarik walaupun ia akan ditayangkan pada 25 September ini.
Membawa genre yang lebih berat dan sulit, drama ‘Kelas Tahanan Cikgu Hiragi’ memaparkan sebuah insiden di dalam satu kelas di antara Cikgu Hiragi dan para pelajarnya demi membongkar misteri kematian salah seorang pelajarnya. Cikgu Hiragi ialah seorang guru seni dan merupakan guru kelas Tingkatan 5A yang baru sahaja mengajar di Sekolah Raja Ishak selama dua tahun.
Sepuluh hari sebelum mereka tamat persekolahan, pelajar-pelajar kelas 5A berkumpul di dalam kelas atas arahan Cikgu Hiragi. Tanpa disangka, pelajar-pelajar ini menjadi tahanannya untuk merungkai insiden hitam lama yang berlaku kepada salah seorang pelajar daripada kelas itu.
Kematian pelajar itu menjadi misteri apabila semua rakan-rakannya mendiamkan diri tentang apa yang berlaku. Tiada siapa yang akan dapat menyelamatkan diri mereka daripada Cikgu Hiragi sehinggalah kebenaran mengenai insiden itu dibongkar.
Sebelum mula menonton! REMAJA senaraikan beberapa alasan mengapa kami rasakan drama bergenre misteri ini tidak kalah dengan versi original dari Jepun.
ARTIKEL BERKAITAN: 5 Sebab Mengapa Drama Adaptasi ‘Dari Mata Turun Ke Hati’ Tidak Kalah Dengan Versi Original Dari Jepun
Antara salah satu tarikan utama Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi adalah bagaimana elemen budaya pengajaran dan pembelajaran (PNP) di Malaysia yang berbeza daripada naratif asalnya. Nadhir Nasar yang melakonkan watak Cikgu Hiiragi berkata, bahawa terdapat banyak perubahan dibuat untuk menyesuaikan dengan budaya tempatan.
“Untuk drama adaptasi versi Malaysia, kami ada 20 episod tetapi versi Jepun cuma ada 10 episod sahaja. Antara sebab kenapa drama ini 20 episod kerana kami memang nak tunjukkan budaya tempatan kita dan ada beberapa scene yang nampak lebih kemelayuan dan dekat dengan penonton,” ujar Nadhir.
Setiap watak dan karakter dalam drama ini mempunyai sifat dan latar belakang berbeza. Menurut Arena Wan yang melakonkan watak Sofia, penampilannya dalam Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi tampak lebih berani dan tegas berbanding dengan watak asal versi Jepun iaitu Sakura Kayano yang dilakonkan oleh Nagano Mei.
Jelasnya, “Kalau ikutkan drama original, karakter saya itu lebih blur, nampak lebih penat dan lebih penakut. Of course, sifat pemalu dan blurriness Sofia itu masih ada tapi tidak terlalu ketara.”
Selain Nadhir Nasar dan Arena Wan, Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi turut membariskan ramai pelapis baru tanah air seperti Evertts Gomes, Arabella Ellen, Cahaya Nilam, Razin Qidran, Elyshia Abegail, Baihaqi Majid, Rasyidin Zainal, Aizat Saha dan ramai lagi!
Sewaktu ditemui REMAJA di set penggambaran KTCH, Nadhir berkata bahawa kesemua rakan-rakan pelakon teruja untuk belajar sesuatu yang baru, tidak kira sama ada daripada pelakon baru dan juga pelakon yang sudah berpengalaman.
Tambahnya, mereka semua hampir sebaya dan bagi membina hubungan baik antara satu sama lain tidak terlalu menjadi masalah.
Menurut Evertts Gomes yang membawa watak Ashraf dalam KTCH, selain poster drama yang dikritik kerana menggunakan Artificial Intelligence (AI). Ada beberapa warga internet yang memandang rendah terhadap siri naskah KTCH dan mempersoalkan mengapa terlalu banyak drama adaptasi dari negara luar seperti Jepun atau Korea berbanding drama asli yang dihasilkan anak tempatan sendiri.
Nadhir menambah kenyataan Evertts, “Sebenarnya ada sebab kenapa kami buat begitu begini tapi ramai yang sudah judge awal. Tetapi kalau mereka dah tonton nanti, mungkin mereka akan faham dan okay sahaja”
Nampak menarik bukan drama adaptasi Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi ini!
Kalau nak tahu, Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi akan mula bersiaran pada setiap hari Rabu dan Khamis menerusi slot Dramavaganza, bermula 25 September 2024, jam 9 Malam di Astro Ria (saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.