oBike! Ramai tahu atau tak mahu ambil tahu!. Tapi kalau sebut basikal berwarna kuning + kelabu yang banyak dilihat di beberapa lokasi spot di ibu kota, basikal ini disediakan bagi memudahkan rakyat Malaysia menggunakannya.
Sebelum boleh mengayuhnya, perlu pergi ke aplikasinya, muat turun dan ikut arahan diberi. Bagi orang dewasa perlu membayar cagaran RM129 manakala kanak-kanak RM79 yang akan dipulangkan semula. Chargenya, RM1 bersamaan 15 minit penggunaan.
Disebalik kemudahan diberikan, timbul isu vandalisme. Ada basikal ditemui dalam longkang, sudah dibaraikan dengan pelbagai kerosakan dan lain-lain masalah.
Ada yang begitu selamba merosakkan sistem pengesannya, GPS hanya mengetuknya dengan batu. Tak kurang juga ada lebih berani, memotong besi yang mengunci basikal.
Remaja membuat tinjauan di beberapa lokasi panas di ibu kota di mana basikal curi ini disimpan. Jangan terperanjat kerana beberapa perumahan yang diperuntukkan untuk golongan berpendapatan rendah menjadi port panas mereka menyimpannya dengan selamba sekalipun tahu basikal itu barangan curi.
Jika sebelum ini ramai yang mengutuk kurangnya kesedaran sivik tetapi hakikatnya, sebahagian masyarakat Malaysia belum bersedia untuk menanam sikap “hak orang hak orang sebaliknya kekal dengan sikap “hak orang hak aku”.
Siasatan yang dilakukan di beberapa lokasi antaranya Universiti Malaya, Amcorp Mall, Taman Dato Haron, Taman Medan, Jalan Klang Lama, Kampung Pasir Kiri, Kampung Pasir Kanan, PPR Cempaka, Kampung Dato Tatah, PPR Blok 100, Kampung Limau, PPR Kerinchi dan Kondo Rakyat Pantai Hill Park mendapati, basikal ini selamba dikayuh oleh sekumpulan remaja dan bila ditahan sebelum disoal, didapati sistem GSP basikal ini sudah dipecahkan dengan batu. Semudah itu saja! Patutlah mereka mengayuhnya dengan selamba.
Lebih pelik lagi, golongan dewasa yang sepatutnya menjadi pelindung atau perlu menegur, hanya memandang sepi dengan sebelah mata kerana bukan anak mereka mengayuhnya.
Remaja berjaya menjejaki sekumpulan remaja berusia di antara 15-16 tahun yang sudi menceritakan bagaimana mereka menemui basikal ini dan bagaimana mereka mencurinya. Jangan terkejut kerana pendedahan ini sebenarnya adalah realiti sebenar dunia remaja yang mungkin tidak memahami bahawa mereka sudah melakukan jenayah apabila menunggang basikal ini.
Sekumpulan remaja ini mengakui mereka menjumpai basikal ini di tepi jalan yang sudah pun rosak. Kata seorang darinya, mereka hanya perlu mengetuk batu berkali-kali di sistem GPS dan secara automatik, kunci basikal akan terbuka.
Jenayah ini banyak berlaku di PPR Kerinchi dan hasil perbualan Remaja bersama remaja ini, katanya orang dewasa yang merosakkannya terlebih dahulu.
“Banyak mereka simpan di bawah blok. Ada yang sorok, ada biarkan di lokasi terbuka,” kata seorang darinya.
Ditanya, ada takut ke tak menunggang basikal curi ini, ada jawapan ya. Sebahagian lagi mengatakan tidak.
Demi melengkapkan siasatan, Remaja memulakan penyiasatan di Universiti Malaya. Mungkin kerana sudah matang, basikal ini elok diletakkan di kawasan dikhaskan namun ada sebahagiannya bersepah. Namun itu tidak menjadi soal kerana polisi oBike sendiri membenarkan basikal ini diletakkan di mana-mana kemudahan.
Tinjauan di sekitar bandar Petaling Jaya mendapati tiada lagi basikal longgokan basikal ini kerana September lalu pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) sudah menyita beratus basikal oBike kerana tidak memiliki lesen.
Tinjauan diteruskan ke LRT Amcorp Mall sebelum berpatah ke Taman Dato Haron dan Taman Medan, Petaling Jaya. Dalam satu temubual dengan seorang peniaga di situ, katanya minggu lalu dia ternampak sebiji basikal oBike di tempatnya berniaga tetapi kini sudah dibawa pergi oleh sebuah lori (berkemungkinan kontraktor yang dilantik mengutip basikal yang ditinggalkan oleh pengguna).
Tinjauan diteruskan sehinggalah Remaja singgah di PPR Cempaka dan kenyataan dari sebahagian kanak-kanak di situ cukup memeranjatkan.
Jika di PPR Kerinchi menggunakan batu untuk merosakkan sistem GPS, di PPR Cempaka pula menggunakan mesin untuk memotong besi yang mengunci basikal. Wow, kreatif betul dia orang niekan. Berlonggok basikal yang sudah rosak dibiarkan di taman permainan.
Di sebalik isu vandalisme dan memiliki barang curi, mungkin sebahagian remaja tidak mengetahui bentuk hukuman bakal mereka terima jika kes kecurian ini dilaporkan dan mereka tertangkap ketika sedang menunggangnya.
Temubual bersama Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak memaklumkan, di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, mana-mana yang memiliki barang curi, hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Nasihat saya, jangan memilki barang curi atau menyimpan barangan yang tidak diketahui dari mana puncanya. Kesalahan ini satu jenayah dan saya menasihati remaja, agar tidak menyimpan sebarang barangan dicurigai dari mana datangnya. Remaja seharusnya tahu adalah menjadi kesalahan kalau mereka menyimpan barang curi,”katanya penuh tegas
Apa yang dapat disimpulkan dalam isu basikal oBike ini, semua pihak harus bertanggungjawab dalam menasihati golongan remaja. Jika salah, nyatakan apa kesalahan mereka. Jangan pandang sebelah mata.
Kepada pihak oBike pula, mungkin boleh memperbaiki lagi sistem keselamatan di basikal kerana terlalu mudah dicuri oleh remaja dan kanak-kanak yang pemikirannya pun belum matang. Atau mungkin juga deposit RM129 untuk dewasa dan RM79 untuk kanak-kanak boleh dikurangkan lagi demi membolehkan semua kanak-kanak menikmatinya tanpa perlu membayar satu jumlah tinggi.
Sudah tentu mereka tiada wang dan perlu meminta kebenaran ibu bapa. Secara tak langsung, jika tiada bayaran cagaran, mungkin lebih ramai remaja boleh menikmatinya tanpa perlu melakukan jenayah vandalisme.
WAJIB TONTON VIDEO INI!