Jika beberapa tahun lalu, ahli kumpulan Blackpink iaitu Rosé dan bekas ahli kumpulan 2NE1, CL pernah mencatat rekod sebagai dua selebriti wanita K-pop pertama menerima jemputan ke acara fesyen tahunan, Met Gala di kota New York.
ARTIKEL BERKAITAN: Wajah Asia : Rosé & CL Catat Sejarah Hadir Ke MET Gala 2021 – REMAJA
Pada tauhun 2024 pula, tiba giliran pelakon kacak, Bright Vachirawit untuk melakukan perkara sama bagi negara kelahirannya, Thailand.
Untuk penampilan pertamanya di acara tersebut, Bright yang terkenal kerana lakonannya dalam drama bersiri 2Gether: The Series dan F4 Thailand: Boys Over Flowers tidak kekok memperkenalkan dirinya sebagai kuasa fesyen antarabangsa baharu.
Bright yang merupakan duta antarabangsa jenama Burberry memperagakan jaket georgette dengan perincian butang bullion emas pada bahagian sisi serta bahu; lantas membuatkan penampilan Bright kelihatan segak persis putera diraja. Perincian frills pada kelim lengan jaket (cuff) pula ibarat the icing on the cake.
Ia dipadankan dengan seluar sutera hitam dan top tanpa lengan keemasan pada bahagian dalam; semuanya hasil rekaan khas oleh pengarah kreatif Burberry, Daniel Lee buatnya. Sepatu hitam dengan rekaan tapak bersegi melengkapkan gaya Bright itu.
Rambutnya kekal dalam gaya ke belakang seperti kebiasaan agar imej Bright kekal kasual selari dengan visi yang ditetapkan oleh rumah fesyen Inggeris itu.
Biarpun ada yang berpendapat gaya Bright itu agak ringkas dan tidak mempunyai elemen bunga mengikut kod pemakaian Met Gala pada tahun ini iaitu The Garden of Time; pemerhati fesyen tetap memuji gaya fesyennya yang diolah daripada cara pemakaian lelaki aristokrat Inggeris di zaman lampau.
Sekurang-kurangnya, ia masih menepati tema masa yang ada dalam kod pemakaian tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Bright Vachirawit Kehilangan Lebih 80,000 ‘Followers’ Setelah Hati Dimiliki Pornnappan Pornpenpipat – REMAJA
Keterbukaan penganjur Met Gala untuk menjemput lebih ramai selebriti dari negara Asia untuk menyertai acara itu dilihat sebagai satu tanda positif terhadap inklusiviti yang cuba dibawakan oleh dunia fesyen masa kini.
BACA LAGI: Kim Kardashian Muncul Di MET Gala Dengan Saiz Pinggang Tak Masuk Akal & Netizen Berang! – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.