Tidak salah jika REMAJA katakan bahawa BTS merupakan nama dari industri K-pop yang paling dikenali di seluruh dunia ketika ini. Satu demi satu penghargaan serta penghormatan yang diperolehi mereka terutama di di luar negara seperti di benua Amerika Utara dan Eropah.
Fenomena K-pop yang dibawa mereka telah sedikit sebanyak merevolusikan pengaruh grup-grup Korea di persada dunia. Ternyata grup yang dianggotai 7 orang hali serba berbakat ini telah berjaya melonjakkan nama industri K-pop ke peringkat lebih tinggi.
Pada hari ini, BTS telah mencipta sebuah lagi sejarah yang cukup besar maknanya. Mereka telah dijemput untuk berucapp dan membantu pelancaran kempen inisiatif global untuk belia dikenali sebagai ‘Generation Unlimited’.
Berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, BTS hadir dengan cukup segak mengenakan kot pakaian serba hitam. Kehadiran mereka yang menjadi tetamu istimewa dalam persidangan membincangkan isu remaja dan belia bersama UNICEF dalam usaha membendung keganasan terhadap kanak-kanak mendapat tumpuan dunia.
RM atau nama sebenarnya Kim Nam Joon selaku ketua BTS telah menjadi wakil dan memberikan ucapan panjang selama enam minit di pentas PBB. Dan berdiri di belakangnya ialah enam ahli lain seperti Suga, V, Jungkook, Jimin, J-Hope dan Jin.
Dalam ucapannya, RM secara spesifik berkongsi kisah peribadinya yang membesar di Ilsan, korea Selatan tentang bagaimana dia bergelut untuk mencari identiti diri dan minat sejati. Selain itu dia turut menyentuh tentang bagaimana dia dan ahli yang lain terpaksa berdepan dengan masalah keyakinan diri. Namun dengan segala usaha dan bantuan daripada ornag sekeliling mereka berjaya tempuhi.
Peminat BTS yang dikenali dengan gelaran ARMY pantas memberi reaksi di laman media sosial tentang ucapan BTS di PBB. Rata-rata daripada mereka berasa cukup bangsa dengan BTS yang diberi peluang untuk memberikan ucapan di PBB. Mereka juga kagum dengan topik yang dibawa oleh BTS yang menyentuh tentang soal keyakinan dan penerimaan diri.
BTS juga turut berkongsi kejayaan kempen mereka, ‘Love Myself’ yang disambut dan disertai oleh ribuan peminat mereka dari seluruh pelosok dunia.
Tahniah REMAJA ucapkan kepada BTS di atas kejayaan dan pengiktirafan ini! Hwaiting!