Baru-baru ini, peminat kumpulan sensasi BTS iaitu ARMY meluahkan rasa kesal dan kecewa terhadap kerajaan Korea Selatan selepas satu laporan yang tular di media sosial.
Menerusi laporan tersebut, ada pihak mendakwa bahawa BTS tidak menerima sebarang bayaran untuk penglibatan mereka dalam konsert percuma bagi mempromosikan kempen Busan World Expo 2030 yang dijalankan pada tahun 2022 lalu.
BTS, yang terkenal dengan sumbangan besar mereka pada industri budaya dan ekonomi Korea, dilaporkan sepatutnya menerima 7 billion KRW (sekitar USD4.75 juta) dalam penglibatan mereka. Walau bagaimanapun, sebaliknya kumpulan ini dan agensi mereka, HYBE terpaksa menanggung sepenuhnya kos penganjuran bagi konsert tersebut.
Dalam pada itu, tuduhan mengenai eksploitasi dan penipuan bayaran ini telah menimbulkan perdebatan hangat di media sosial sehingga ada ramai peminat tampil mempersoalkan layanan kerajaan Korea Selatan terhadap BTS sebagai salah satu sumber yang banyak menyumbang kepada negara ginseng tersebut.
Menurut sumber, ini bukanlah kali pertama BTS didakwa dieksploitasi sebegitu rupa. Malah, peminat BTS (ARMY) juga mengkritik acara tersebut kerana pengaturannya yang teruk serta menuduh kerajaan menggunakan BTS bagi tujuan publisiti selain menipu kumpulan itu.
Walaupun diiktiraf sebagai Duta Kehormat untuk Expo Dunia dan memainkan peranan penting dalam menarik perhatian antarabangsa, ketujuh-tujuh ahli kumpulan itu bukan sahaja membuat persembahan tanpa bayaran, tetapi juga menanggung kos pengaturcaraan, termasuk pengeluaran, keselamatan, dan pengurusan staf.
Selain itu, pada tahun 2023, kerajaan Korea Selatan turut dilaporkan cuba memaksa ahli BTS untuk membuat persembahan ketika mereka sedang menjalankan latihan wajib ketenteraan. Namun, cadangan tersebut berjaya ditentang oleh agensi pengurusan HYBE.
Kritikan yang serupa timbul terhadap cadangan undang-undang yang membenarkan kumpulan itu membuat persembahan semasa menjalani khidmat ketenteraan secara berperingkat tanpa bayaran yang sepatutnya, kerana undang-undang yang ada tidak membenarkan tentera yang berkhidmat menerima pendapatan luar.
Sekadar info, konsert percuma di Busan itu disaksikan oleh lebih 55,000 penonton secara langsung di stadium dan berjuta-juta penonton di seluruh dunia, menunjukkan pengaruh global kumpulan ini. Walaupun HYBE mengakui tekanan kewangan, mereka menekankan komitmen mereka untuk mengekalkan standard prestasi yang tinggi dan berbangga kerana dapat menyokong inisiatif nasional.
Menurut laporan oleh Sports Chosun pada 2022, HYBE menekankan faedah ekonomi yang boleh dibawa oleh Expo kepada Korea dan matlamat bersama untuk mempromosikan Busan di pentas global.
Pada masa ini, lima daripada tujuh ahli kumpulan itu sedang menjalani khidmat ketenteraan dan menurut laporan kesemua ahli akan menamatkan perkhidmatan mereka menjelang Jun 2025. Jin dan j-hope telah pun menamatkan perkhidmatan mereka, dengan Jin selesai pada Jun dan j-hope pada Oktober.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.