Buat Kelainan Seisi Keluarga, Naik KTMB ‘Kelik Kampung’ Pantai Timur Jom!

Share

 

Baru-baru ini, kecoh platform media sosial apabila Ketua Polis Kelantan memaklumkan pihaknya menjangkakan dua juta kenderaan untuk memasuki negeri itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Lalu, ramai yang mengeluh memikirkan keadaan sibuk di jalan raya yang boleh memakan masa hampir seharian sekiranya kita ‘malang’ memandu di waktu puncak.

Hhm, apa kata korang lupakan sebentar pilihan balik ke kampung menggunakan kenderaan sendiri ataupun bas; dan beralih kepada alternatif menaiki perkhidmatan tren?

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada tahun ini memperkenalkan perkhidmatan tren khas untuk seisi keluarga. Dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia, tren khas ini akan memulakan perjalanan untuk ‘kelik kampung’ ke destinasi Pantai Timur bermula 29 April ini.

Seramai 516 penumpang istimewa akan berlepas dari KL Sentral menuju ke stesen Tumpat pada 29 April jam 11 malam dan ia akan berhenti di 17 stesen berbeza.

Ini termasuklah hentian Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan akhir sekali, tiba di Tumpat pada 30 April, jam 3.55 petang.

Manakala, perjalanan balik pula akan bermula dari stesen Tumpat pada 7 Mei, jam 10.50 malam. Ia dijangka tiba di stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3.04 petang.

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama KTMB bersama Kementerian Pengangkutan untuk menggalakkan warga kot mengambil alternatif tren untuk pulang ke kampung halaman dengan selamat dan pada kadar tambang yang berpatutan. Ia juga diharapkan boleh mengurangkan kesesakan di jalan raya lalu menjimatkan masa perjalanan

Bagi yang tertanya-tanya jika tren khas ini menyelesakan atau tidak, jangan risau. Tren ini dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan koc chillax bagi memberi peluang kepada penumpang untuk menunaikan solat dan menjamu moreh beramai-ramai.

Sumber : KTMB

Tiket Ekspres Khas Keluarga Malaysia akan mula dijual pada 15 April ini pada harga serendah RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala. Menariknya, semua penumpang tren khas ini juga akan menerima cenderahati tau!

Sementara itu, warga kota yang ingin pulang ke destinasi di Pantai Barat boleh memilih perkhidmatan tren ETS di mana pihak KTMB akan menambah dua lagi tren elektrik tambahan bagi menampung 4,368 penumpang ekstra pada musim perayaan.

Penumpang akan menaiki tren dari stesen KL Sentral dan ia akan menuju stesen Padang Besar dari 29 April hingga 2 Mei. Manakla perjalanan pulang pula bermula dari 6 Mei hingga 8 Mei. Jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April juga.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ