“Buat Orang Yang Mengapi-Apikan, Berhentilah…” Neelofa Mohon Henti Keruhkan Lagi Kenyataannya

Share

Susulan titipan pesanan yang berbaur kontroversi mengenai ‘melancong untuk melihat dunia atau dunia melihat anda’, bekas peserta Dewi Remaja popular, Noor Neelofa meminta warganet supaya hentikan salah faham mahupun mengapi-apikan kenyataan sedemikian sebagai satu bentuk sindiran kepada individu yang melancong ke luar negara yang gemar berkongsi momen percutian di media sosial.

Menerusi hantaran terbaharu yang dimuat naik menerusi InstaStory miliknya, bekas pengacara program terkenal MeleTop itu meminta warganet dan para media agar tidak memutarbelitkan keadaan dengan andaian sendiri sehingga melibatkan nama selebriti lain.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tanda Suka & Tontonan Hanya Beri Kepuasan Sementara Sahaja” Neelofa Titip Pesan Buat Yang bakal Melancong

“Saya baru perasan ada segelintir salah faham tentang apa yang sayd ingin sampaikan dan ada juga media menulis artikel sehingga cuba memasukkan kefahaman berbeza.

“Kepada media, jangan putar belit apa yang saya cakap sehingga menyebabkan ramai orang fitnah dan salah sangka. Buat orang yang mengapi-apikan, berhentilah. Saya tiada niat untuk tujukan kepada sesiapa,” tuturnya.

Selain itu, isteri kepada pendakwah selebriti dan usahawan, Haris Ismail itu turut menjelaskan, dia hanya berkongsi pandangan tentang sikap sesetengah orang yang pergi melancong semata-mata untuk dijadikan kandungan dalam media sosial.

“Bukan saya melarang untuk berkongsi dalam media sosial. Maksud saya ditujukan kepada sesetengah orang yang melancong hanya bertujuan untuk membuat kandungan media sosial sahaja.

“Ada yang sehingga buat persediaan dari sini semata-mata untuk buat kandungan serta media sosial. Malah, ada yang merakam momen percutian mereka semata-mata untuk kandungan dalam media sosial, sedangkan pada ketika itu, dia diberi peluang berseronok dan mencipta kenangan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pengacara Next To Neelofa itu sempat mengingatkan supaya warganet tidak tersalah tafsir dengan apa yang dikongsikan, selain kenyataan itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Ada beberapa situasi berbeza contohnya ada orang pergi atas rezeki dan ada yang pergi atas tuntutan kerja. Contohnya yang pergi melancong sendiri itu jangan salah faham. Tolonglah buat video dan ambil gambar banyak-banyak untuk kongsikan.

“Saya juga akan buat perkara sama seperti memuat naik dalam media sosial tetapi sebagai seorang yang banyak kali diberi peluang melancong dulu, perkara yang saya ingin ubah adalah lebin menikmati atau menghargai momen tersebut,” kata usahawan itu.

Terdahulu, ramai yang mengaitkan Neelofa mengenai perkongsian momen-momen percutian selebriti dan usahawan, Fazura bersama keluarga kecilnya yang baru pulang dari Amsterdam.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Neelofa

Published by
Fath