Anggap COVID-19 Satu Jenaka & Degil Lakukan Reunion, 14 Sekeluarga Sah Positif

Share

Menganggap COVID-19 satu jenaka dan hal yang diada-adakan untuk menakutkan masyarakat, satu keluarga yang mengadakan reunion selepas meraikan kelahiran sambutan menyambut cucu baru akhirnya menerima padah.

14 ahli keluarga ini dijangkiti virus corona dan seorang telah meninggal selepas mengadakan majlis pertemuan ini. Malah kesemuanya langsung tidak mengenakan topeng muka atau duduk berjarak ketika majlis itu.

Dalam kejadian di Texas, Amerika Syarikat itu, Tony Green, 43 dari Dallas dan keluarganya mengadakan majlis pada 13 Jun 2020.
Perayaan ini dihadiri seluruh ahli keluarganya termasuk ayah mentuanya, Rafael Ceja, nenek serta saudara perempuan bersama pasangan masing-masing.

Anggap COVID-19 Jenaka

Jelas Green, dia sebelum ini yakin corona virus ini adalah satu jenaka semata-mata. Tidak lama selepas pertemuan yang diadakan, nenek kepada bayi berkenaan mula jatuh sakit.
Dia kemudiannya disahkan positif COVID-19 dan meninggal dunia.

Mengaku sangat menyesal

Terperanjat dengan keputusan yang berlaku kepada nenek mereka, Green kemudian mengumumkan kes dijangkiti kepada seluruh ahli keluarga yang hadir ke majlis tersebut.
“Bayangkan hanya kerana menganggap corona ini sesuatu yang tidak serius, ia mengakibatkan penderitaan bukan saja kepada kami semua tetapi juga tuan rumah yang memberi kebenaran majlis diadakan,” kata Green.

Dalam pada itu, Green kemudian mendesak orang lain mengambil serius isu corona. Bukan main-main seperti apa yang mereka fikirkan sebelum ini.

“Anda tidak dapat bayangkan penyesalan di hati saya. Sebelum ini saya selalu menyangkal mengenai virus ini, memperlekehkanya malah mengejek-ejek individu yang mengenakan pelitup muka dan menjaga jarak sosial,” katanya yang benar-benar menyesal.

Bukan itu saja, dia turut menyakinkan kesemua ahli keluarganya bahawa tiada apa yang akan berlaku walau mereka mengadakan majlis ini.

Penyokong kuat Trump

Ternyata, Green adalah penyokong kuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Malah gesaan dari pemimpin itu yang tidak menggalakan penggunan topeng muka (pada awal corona menyerang Amerika Syarikat) dan Trump akhirnya mengenakan juga topeng muka selepas ratusan ribu mati di negara Uncle Sam itu.

Dia mengaku telah terperangkap dengan konspirasi COVID-19 dan antara individu yang radikal menentang corona virus.

Namun apabila terkena dan seorang ahli keluarganya mati dan 14 lain dijangkiti, Green akhirnya benar-benar yakin bahawa virus corona ini wujud.

Published by
Almaswa Haji Che Ros