“Mereka akhiri SPM dengan ingat kepada Tuhan..”
Musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung sekarang sedikit sebanyak bakal menerbitkan rasa rindu sesama para pengajar dan pelajar setelah ia berakhir, tidak lama lagi.
Iyalah, selepas ini, tiada lagi sahutan ‘Selamat pagi cikgu’ daripada para pelajar yang sama. Bagi para cikgu pula, pastinya mereka akan merindui gelagat anak murid yang telah bersama mereka untuk bertahun-tahun lamanya.
Buat seorang tenaga pengajar yang dikenali sebagai Cikgu Muhammad Yusuf, dirinya bersyukur apabila persediaan sebilangan anak muridnya bagi menduduki SPM akhirnya berbaloi juga setelah mereka menamatkan kertas terakhir, kelmarin.
Mereka merupakan pelajar daripada ‘kelas belakang’ yang tidak perlu berdepan dengan kertas subjek sains yang dijadualkan berlangsung bermula minggu hadapan.
Dalam kegembiraan dan rasa syukur setelah melihat anak murid sendiri ‘bebas’ sudah daripada bebanan peperiksaan, Cikgu Yusuf meluahkan rasa bangga kepada mereka biarpun masyarakat selalu memandang serong terhadap ‘budak kelas belakang’ ini.
“Budak kelas belakang inilah yang rajin tegur cikgu-cikgu dekat luar. Kalau jumpa dekat pasar malam, sebatu mereka dah jerit, ‘Cikgu….’. Siap berebut nak salam cium tangan cikgu.”
“Dalam kepala saya, sentiasa tersemat mereka-mereka ini adalah anak-anak cemerlang kemenjadian dan sahsiah mereka. Hari ini hari terakhir mereka menduduki peperiksaan dan Alhamdulillah, mereka akhiri sesi persekolahan dengan sujud syukur.
“Tak ada tarian atas motor, tak ada aksi gunting baju, tak ada aksi merempit tak tentu hala.”
“Ya, mereka mengakhiri SPM dengan ingat kepada Tuhan,” kata beliau yang gemar berkongsi kisah pelajarnya di ruangan Facebook. Sekelumit perasaan stereotaip terhadap para pelajarnya tidak pernah wujud dalam kamus dirinya.
Malah, Cikgu Yusuf juga meminta jasa baik pengikutnya untuk sama-sama mendoakan agar calon SPM pada tahun ini bakal lulus dengan cemerlang dan menjadi manusia yang berguna. Tambahan pula setelah mereka perlu ‘struggle’ dengan ujian pandemik COVID-19 sehinggakan peperiksaan perlu ditunda sehingga ke waktu ini.
*
Kalau korang masih ingat, remaja pernah menemu ramah seorang guru yang berkhidmat di Sabah. Jasa dan usaha beliau demi memastikan anak muridnya memahami subjek yang diajar olehnya cukup besar.