Uncategorized

Bukan Calang-Calang! Majalah Antarabangsa Time Nobat Michelle Yeoh Ikon 2022

Share

Siapa tidak kenal dengan seorang bintang Hollywood kelahiran Malaysia ini. Terbaharu, majalah antarabangsa terkemuka, Time mengumumkan figura terkenal, Tan Sri Michelle Yeoh, sebagai Ikon Tahun 2022 tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri perfileman.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram majalah itu, Time mengumumkan pemilihan aktres itu dibuat atas pencapaian Yeoh yang dianggap bintang paling berpengaruh di Asia sejak berdekad lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Seri Michelle Yeoh Terima Anugera Ijazah Kedoktoran Kehormat Institut Filem Amerika

Kapsyen pada perkongsian tersebut turut memperakui aktres berasal dari Ipoh, Perak itu sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong melalui penampilan dalam rangkaian filem yang turut memperlihatkan keberanian aktres itu melakukan aksi lagak ngeri.

Selain itu, Time tidak terlepas juga menyembut penampilan sulung Yeoh dalam filem terbitan Hollywood apabila membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997 dan diikuti karya besar lain seperti Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, Crouching Tiger, Crazy Rich Asians dan Hidden Dragon.

Menurut majalah itu lagi, filem ‘box office’, Everything Everywhere All at Once ditayangkan Mac lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia, meletakkan figura hebat itu dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.

Sempat REMAJA meninjau di entri bintang berusia 60 tahun itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada majalah itu dan mengakui dirinya diberkati atas pengiktirafan tersebut.

Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu, menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Karier seni Yeoh bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun pada 1983. Yeoh kemudian mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK).

Selepas itu, Yeoh dilaporkan menyertai pertandingan Miss International Tourism Quest dan muncul pemenang, lantas membuka laluan kepada dunia lakonan apabila terpilih menjayakan projek komersial bersama Jackie Chan hingga menarik perhatian penerbit filem Hong Kong, D&B Films.

Antara filem lain lakonan bintang antarabangsa itu adalah Memoirs of a Geisha yang ditayangkan pada 2005, Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011) dan The Lady (2011) di mana Yeoh membawa watak Aung San Suu Kyi.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Time & Michelle Yeoh

Published by
Fath