Bila sebut tentang fobia REMAJA pasti semua orang akan ada. Cuma yang membezakan ialah tahap fobia korang atau subjek yang menjadi mimpi ngeri ketakutan tersebut agak berbeza-beza.
Baru-baru ini, kerajaan melancarkan program vaksinasi terbesar negara bagi dilindungi daripada COVID-19. Suntikan ini diberikan secara percuma merupakan ‘pertahanan’ terakhir penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.
Walaupun bagi orang yang normal ia sekadar jarum yang kecil tapi berbeza bagi segelintir orang, rasa takut tersebut telah pun menjadi fobia yang dikenali dengan istilah trypanophobia.
Menurut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad, dalam istilah perubatan, ketakutan pada jarum dinamakan sebagai trypanophobia, iaitu ketakutan yang melampau terhadap prosedur perubatan yang menggunakan jarum. Ini termasuklah semua bentuk suntikan memasukkan ubat, pengambilan darah ataupun apa sahaja yang melibatkan penggunaan jarum.
Fobia ini melibatkan lebih kurang 10% orang ramai. Mereka ini akan mengelak dari jika disruh ke hospital dan lebih rela mati daripada membenarkan diri mereka dilakukan apa-apa prosedur yang melibatkan jarum. Ketakutan ini boleh menyebabkan kematian.
Tidak banyak catatan dalam jurnal perubatan mengenai ketakutan pada jarum ini. Hanya satu catatan komprehensif yang dijumpai iaitu: “Needle Phobia: A Neglected Diagnosis” oleh Dr James G. Hamilton, M.D. terbitan 1995 dalam The Journal of Family Practice. [Vol. 41, No.2, pp. 169-175]
Menurut Dr. James G. Hamilton, pada zaman kehidupan manusia belum bertamadun, manusia takut terhadap gigitan binatang buas atau berbisa. Mereka membayangkan taring binatang buas yang tajam menggigit kulit tubuh. Kemudiannya ketakutan ini berevolusi kepada ketakutan pada kecederaan tikaman pisau dan pedang dan akhirnya berevolusi menjadi ketakutan pada jarum.
Ketakutan ini melibatkan baka keturunan (genetik). Jika ada di antara ahli keluarga yang takutkan jarum, ini bermakna ahli keluarga lain juga mempunyai kebarangkalian untuk takut pada jarum. Cuma mungkin ahli keluarga yang lain tidak mempunyai tahap ketakutan yang serius.
Cegah fobia
Terdapat beberapa cara bagi mengelak serta mencegah fobia yang melampau
- Elakkan pemakanan yang menyebabkan gemuruh seperti kafien, kopi, coke dan lain-lain.
- Mengamalkan cara pemikiran yang positif. Pemikiran positif adalah kebolehan seseorang individu itu melihat situasi persekitarannya dari sudut yang positif walaupun nampaknya negatif.
- Sentiasa bersedia menghadapi keadaan yang mungkin akan mewujudkan rasa cemas. Cubalah menyedari dan berwaspada pada situasi serta orang-orang yang berpotensi menimbulkan saat kecemasan.
- Teknik pernafasan yang teratur iaitu tarik nafas dalam-dalam, tahan, kawal nafas dan fokuskan fikiran pada proses menarik dan mengeluarkan nafas. Bayangkan bahawa seolah-olah sedang mengatasi rasa cemas dengan helaan nafas yang panjang.
- Ketawa dan bersukan. Tiada yang membantah apabila dikatakan banyak ketawa itu menyihatkan. Dengan cara ini dapat mengelakkan emosi negatif. Bersukan dalam masa 20 ke 30 minit turut mampu menghilangkan rasa cemas.
- Tidur yang cukup. Sekiranya kerap letih cuba tidur untuk dapatkan rehat.
Usir kebimbangan yang berlebihan, jika berasa cemas untuk bercakap dikhalayak ramai, cuba lakukan aktiviti-aktiviti bersama keluarga bagi mengembalikan ketenangan - Tuliskan dan coretkan rasa ketakutan diatas kertas. Cara ini dapat mengurangkan rasa emosi ketakutan yang berlebihan dan rasa sesak didada.
- Sentiasa berdoa agar dijauhkan dari rasa gementar dan ketakutan yang boleh memudaratkan diri sendiri.
Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad , Myhealth.gov.my