Gaya Hidup

“Bukan Penentu Wanita Itu Hebat…” – Pengacara WHI ‘Buka Mulut’ Isu Tidak Pandai Siang Ikan

Share

Hangat sebelum ini di media sosial apabila pengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI) di saluran TV3 kelihatan kekok menyiang ikan ketika acara tersebut bersiaran secara langsung.

ARTIKEL BERKAITAN: “In Real Life, Saya Tetap Romantik…” – Tiada Isu Cemburu, Ikmal Amry Bersyukur Isteri Memahami Kariernya Sebagai Pelakon

Sesetengah warganet yang melihat aksi pengacara wanita itu turut membandingkan diri mereka yang lebih mahir menyiang ikan meskipun bergelar seorang lelaki.

Namun ada juga segelintir individu yang berpendapat wanita masih boleh memasak meskipun tidak pandai menyiang ikan kerana boleh meminta khidmat peniaga untuk menyiang ikan tersebut ketika membelinya di pasar raya.

Setelah video menyiang ikan tersebut tular di media sosial, pengacara wanita WHI tampil memberikan penjelasan mengapa dia tidak mahir melakukan tugasan di dapur tersebut.

Memetik sumber Harian Metro, pengacara WHI bernama Sugeeta Chandran itu berkata dia seorang vegetarian dan jarang menikmati hidangan ikan.

“Saya vegetarian, tak makan ikan, tak masak ikan dan pernah siang ikan pun sekali saja, itu pun manja-manja.

“Saya pula duduk di rumah seorang saja dan kalau di rumah keluarga, emak beli ikan pun yang sudah siap siang maka menyiang bukan perkara yang saya biasa lakukan,” jelasnya.

Lebih lanjut, Sugeeta menjelaskan bahawa program WHI mempuyai segmen di mana para pengacara tidak diberitahu terlebih dahulu cabaran yang akan mereka hadapi dan harus bersedia melakukan apa sahaja yang diberikan oleh pihak produksi.

“Kalau anda pernah menonton rancangan WHI, akan ada segmen untuk pengacara dan kita (pengacara) pun tak tahu apa cabaran akan diberikan.

“Pada hari berkenaan, ada menu berasaskan ikan dan cabarannya menuntut saya dan Syira menyiang ikan,” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, wanita yang tidak pandai menyiang ikan tidak bermakna mereka kurang hebat kerana perkara itu boleh dipelajari.

“Saya ada baca beberapa komen kurang menyenangkan apabila ada yang mengaitkan wanita dengan menyiang ikan sedangkan ia bukan penentu wanita itu hebat atau tidak kerana ada dalam kalangan mereka dibantu ayah atau suami,” komennya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT FOTO/ARTIKEL: Harian Metro, WHI

Published by
Adriana Syaurah