Kerajaan telah mewujudkan pasukan khas (special task force) yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bank Negara untuk meneliti keputusan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat demi mengurangkan jumlah kes baharu dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia.
Kewujudan varian baru yang lebih agresif telah menyebabkan usaha untuk melandaikan lingkungan jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.
Dua strategi yang diambil oleh kerajaan kini adalah untuk mengurangkan keperluan pekerja untuk berkhidmat di pejabat dan mengehadkan tempoh operasi perniagaan; seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media khas pada hari ini.
Jika dahulu, operasi dijalankan dari 6 pagi hingga 10 malam, kini ia dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam. Begitu juga dengan operasi pandu lalu, penjualan makanan secara bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery), kedai runcit dan kedai serbaneka serta kedai keperluan harian.
Waktu operasi baharu ini juga akan melibatkan kedai makanan haiwan, stesen minyak (kecuali di lebuhraya) dan kedai dobi. Cuma operasi farmasi dari 8 pagi hingga 10 malam yang dikekalkan.
Selebihnya, operasi perniagaan lain termasuk di dalam pusat membeli-belah hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pergerakan selepas 8 malam di seluruh negara.
80 peratus pekerja dari sektor awam (atau kira-kira 750,000 orang pekerja) akan diminta untuk bekerja dari rumah. Selebihnya, pekerja lain dibenarkan beroperasi di pejabat.
Manakala di sektor swasta, 40 peratus pekerja (atau kira-kira 6.1 juta pekerja) akan diminta bekerja dari rumah. Ini sekaligus menjadikan 7 hingga 8 juta pekerja tidak lagi perlu keluar dari rumah untuk ke tempat kerja. Kesannya amat besar kepada pergerakan rakyat dan ia menjadikan pengawalan di jalan raya lebih mudah kepada pihak berkuasa.
Kapasiti dalam pengangkutan awam akan dihadkan kepada 50 peratus saja daripada jumlah sebenar. Kekerapan perkhidmatannya juga akan dikurangkan.
*
SOP yang lebih ketat ini akan mempercepatkan usaha mengawal linkungan. Jika jumlah kes baharu dapat dikurangkan, kerajaan bersedia untuk melonggarkan SOP yang ketat ini.
Walaupun PKP 3.0 kali ini bukanlah menyeluruh seperti PKP 1.0 pada tahun lalu, usaha mengetatkan atau melonggarkan SOP akan bergantung kepada keadaan semasa demi memberi ruang bernafas kepada sektor ekonomi yang teruk terjejas pada tahun lalu.
Apa yang penting kini adalah amalan kendiri agar diri dan masyarakat kita akan terus selamat.