Figura hebat seorang ini tidak asing lagi dalam arena sukan tanah air, malah antarabangsa…
Dirinya ditakdirkan menjadi salah seorang pelumba basikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sentiasa komited dan bersemangat sebagai seorang atlet.
Tapi ada yang menariknya ada pada figura yang diberi gelaran ‘The Terminator Shah’ ini, bukan sahaja hebat dalam arena sukan berbasikal, malah Muhammad Shah juga mempunyai bakat terpendam dalam bidang muzik.
ARTIKEL BERKAITAN: Pecah Rekod Kebangsaan Sekali Lagi! Umar Osman Tampil Bersinar Pada Temasya Universiade 2023
Siapa sangka, pelumba ini mahir bermain gitar tau! Bukan itu sahaja, malah Muhammad Shah turut mempunyai lontaran suara yang sedap didengar halwa telinga.
Menurutnya, beliau menyifatkan dirinya mewarisi bakat bapa saudaranya, iaitu Rain yang merupakan seorang ahli kumpulan muzik Rajawali, sebuah kumpulan pemuzik terkenal pada era 90-an.
Bukan sekadar minat ‘suka-suka’, beliau juga mempunyai studio di rumahnya dan sering menjadikan aktiviti bermain gitar dan menyanyi untuk mengisi masa lapang dan tekanan.
“Selalu di rumah saya akan bermain gitar, rumah di kampung saya memang ada studio, saya selalu luangkan masa bersama ayah dan bapa saudara untuk jamming, selalu mainkan lagu rock.
“Saya mula main muzik sejak kecil dengan bapa saudara sebab dia memang pemuzik, ayah saya juga ada band masa muda-muda, mungkin darah ahli muzik mengalir di badan saya sebab itu saya minat,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba berusia 27 tahun itu berkata selain bermain gitar, beliau akan sentiasa meluangkan masa mengayuh basikal yang dianggap sebagai terapi ketika sedih dan menghadapi sebarang tekanan.
“Luar daripada trek saya tetap akan kayuh basikal, gembira atau sedih saya akan luangkan masa untuk kayuh, sebab dengan berbasikal memang buat saya rasa lega, kadang-kadang saya akan ke tasik, sungai atau kedai kopi sendirian mengayuh basikal,” katanya.
Untuk rekod, Muhammad Shah pernah meraih pingat perak di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dalam acara pecut berpasukan.