Bukan Semua Boleh Bayar Fidyah Kalau Tak Sempat Ganti Puasa, No 5 Paling Ramai Keliru

Share

Insya Allah, andai diberi kesempatan bernafas oleh Allah taala, lagi 20 hari  umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa. Pasti ramai yang merindui bulan penuh rahmat, bulan penuh keberkatan  di mana setiap amal ibadah yang dilakukan akan diberikan gandaan pahala.

Tapi sebelum sampainya Ramadan, tentu ada di kalangan kita yang risau jika belum sempat menggantikan puasa-puasa terdahulu dan hanya mahu membayar fidyah sahaja bagi menggantikan puasa yang gagal dibuat. Harga bagi secupak beras ialah RM6.70 bagi tahun-tahun sebelum ini (kebanyakan negeri harganya sama).

Sebelum mahu membayar fidyah jika tidak sempat menggantikan puasa-puasa terdahulu, ada perkara perlu kita faham kerana bukan semua boleh diselesaikan dengan membayar fidyah sebaliknya puasa wajib diganti juga.

Berikut adalah kategori  golongan yang boleh membayar fidyah. Lihat nanti senarai nombor lima yang sering orang salah faham dengan menganggap mereka boleh bayar fidyah juga tanpa menggantikan puasa.

Bagi ibu bapa kita yang uzur, tak wajib puasanya digantikan, cuma perlu dibayarkan fidyah sahaja dan tiada gandaan bayaran fidyah.

1) Uzur menunaikan puasa wajib

Keterangan: Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

Qada’ dan Fidyah: 
• Tidak wajib qada’ puasa
• Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut
• Tiada gandaan fidyah walaupun melangkaui tahun

Wajib bayar fidyah dan qada puasa jika tidak berpuasa pada tahun ketika mengandung

2) Perempuan hamil

Keterangan: Dengan syarat dibimbangi akan keselematan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran.

Qada’ dan Fidyah:
• Wajib qada’ puasa.
• Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut

Adapun wanita yang bimbang akan keselamatan dirinya atau dirinya dan anaknya, maka wanita berkenaan hanya wajib qada’ puasa tanpa perlu membayar fidyah.

Ibu yang menyusu juga perlu membayar fidyah dan wajib menggantikan puasa selama ditinggalkan jika mendatangkan kemudaratan kepada anak yang masih kecil

3) Ibu yang menyusukan anak

Keterangan: Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu.

Qada’ dan Fidyah:
• Wajib qada’ puasa
• Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut.

Mana-mana ahli keluarga kita yang sudah meninggal puasa wajib dibayarkan fidyah selama mana puasa ditinggalkan sebelum membahagikan harta pusaka di mati dibahagikan

4) Orang yang telah meninggal dunia 

Keterangan: Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Qada’ dan Fidyah:
• Wajib bayar fidyah

Wajib digantikan puasa selama mana ditinggalkan selain perlu bayar fidyah bagi gadis remaja. Gambar hiasan

5) Melambatkan ganti puasa (Qada’)

Keterangan:  Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan).

Qada’ dan Fidyah:
• Wajib qada’ puasa
• Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut dan bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Jadi dah fahamkan, siapa yang boleh bayar fidyah dan tidak bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Moga Allah memberi kesempatan untuk kita menyampaikan ke Ramadan Nur Karim.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros