Bukan ‘Superficial’, Che Ta Jelaskan Mengapa Dewi Remaja Perlu CANTIK

Share

 

Seringkali dalam mana-mana pertandingan ratu cantik di seluruh dunia, kecantikan luaran pasti menjadi salah satu faktor pemilihan para pesertanya. Jarang sungguh untuk kita melihat mana-mana organisasi ratu cantik yang berani menampilkan gadis yang menongkah arus dengan rupa paras di luar kotak atau kriteria seorang juara ratu cantik.

Begitupun, edisi demi edisi, pencarian Dewi Remaja cuba mengubah tanggapan tersebut dengan memilih seseorang peserta bukan hanya disebabkan aspek rupa paras semata tetapi juga kelayakan keseluruhan sebagai seorang ‘public figure’ yang mewakili golongan remaja di Malaysia.

Bercakap dengan Rozita Che Wan yang merupakan juri tetap Dewi Remaja 2022 baru-baru ini, Che Ta menetapkan kriteria tersendirinya dalam pemilihan yang dilakukan.

Bagi Che Ta, selain prestasi yang ditampilkan oleh barisan finalis pada setiap episod, kecantikan merupakan salah satu faktor yang tidak kurang pentingnya. Bukan faktor terpenting! Tetapi ia adalah salah satu faktor yang dinilai.

“Saya berbangga dengan legasi yang dipegang oleh Dewi Remaja. Keluaran Dewi Remaja ini memang hebat-hebat. Masing-masing mencipta nama selepas berakhir (pertandingan) dalam bidang perfileman dan peragaan.

“Kita nak cari antara dewi-dewi kali ini yang boleh membawa nama Dewi Remaja. Personalitinya haruslah menarik, ada aura. Bila you tengok dia, you akan wow-ed dan terpaku dengannya.

“Tidak semestinya dia cantik tetapi dia perlu ada charm dan pesona seorang bintang. Kita tak naklah bila pilih seseorang itu, dia tidak mewakili nama Dewi Remaja itu. Kita nak seseorang yang boleh teruskan legasi ini,” ujarnya.

Che Ta tidak menidakkan kecantikan sebagai salah satu faktor penilaian. Bukan untuk bersifat superficial

atau memandang dari luaran sahaja, Che Ta ada penjelasannya sendiri mengapa kecantikan turut diperhati olehnya. Bukan wajah dan bentuk badan saja yang mewakili kecantikan tetapi juga cara penggayaan diri setiap kali melakukan kemunculan juga adalah sesuatu yang penting bila menyentuh ‘identiti’ jenama Dewi Remaja.

“Cantik itu adalah tarikan. You tengok seseorang itu cantik, you lebih hendak mengenali dia. Orangnya bagaimana, apa bakat yang dia ada. Saya tidak menidakkan aura dalaman itu perlu, tetapi untuk tarikan pertama adalah cantik. Dari mata, turun ke hati,” kata Che Ta.

Selama dua episod Dewi Remaja 2022 ditayangkan di kaca televisyen, Che Ta menyifatkan 16 orang finalis kali ini masih sedang tercari-cari aura dan identiti masing-masing.

“Jujurnya, mereka belum masuk aura dan persona sebagai seorang juara lagi. Kita lihatlah siapa yang akan terus menyerlah dari episod ke episod.

“Satu yang ingin saya pesan pada mereka, jangan rasakan diri sudah cukup bagus apabila you sudah tersenarai (16 yang terbaik). You kena work harder, kena tahu apa hala tuju you. You kena tahu apa you nak.. sampaikan you sanggup commit masa dan tenaga selama berbulan-bulan ini. Barulah, you boleh persembahkan diri secara lebih baik,” simpulnya.

Haa, korang setuju tak dengan Che Ta?

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ