Alhamdulillah.
Sekali lagi umat islam dipertemukan dengan 1 Rejab pada hari ini. Itu menandakan kita hanya tinggal 2 bulan saja sebelum Ramadan.
Rejab ini merupakan satu bulan yang cukup istimewa gaiss sehinggakan ia tergolong dalam empat ‘bulan Haram’ yang dinamakan dalam Islam.
Menurut keterangan yang diberikan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bulan-bulan Haram Islam telah diterangkan dalam Al-Quran sendiri.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Taubah ayat 36; maksudnya:
*****
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.
*****
Tiga bulan yang umum ketahui sebagai bulan Haram adalah Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Cuma Rejab saja bulan Haram yang terpisah dan menjadi bulan keempat.
Apa kelebihan pada bulan-bulan Haram ini?
Ia sebenarnya terletak pada pelbagai tarikh penting yang hanya hadir setahun sekali kepada umat Islam. Antaranya, puasa sunat pada hari Asyura’ (10 Muharam), puasa sunat bagi yang tidak menunaikan haji (9 Zulhijjah) dan tarikh umat Islam mula menunaikan ibadat haji (Zulkaedah, Zulhijjah).
Kita semua digalakkan untuk lebihkan ibadat berpuasa, bersedekah, berzikir, menunaikan solat sunat dan membaca Al-Quran pada keempat-empat bulan ini. Sumber (I)
Untuk pengetahuan, ini adalah 3 lagi keistimewaan bulan Rejab yang harus diketahui oleh kita semua yang beragama Islam.
Rejab ‘ Warning’ Untuk Ganti Puasa
Bulan Rejab ini selalunya dianggap sebagai bulan latihan bagi umat Islam melatih diri untuk berpuasa sebelum tibanya Ramadan. Bagi kaum perempuan pula, ini boleh dianggap sebagai bulan ‘warning’ bagi mereka menggantikan ‘hutang puasa’ sementelah tinggal 2 bulan saja masa yang tinggal.
Korang juga boleh saja menggabungkan niat puasa sunat dengan puasa ganti.
Rejab Bulan Persediaan
Selain daripada berpuasa, umat Islam juga digalakkan bersedia mempertingkatkan ibadah bermula bulan ini menuju ke Ramadan.
Kata Imam Muda Aran kepada rakan media di Sinar Plus
, Rejab ibarat kita menanam pokok. Syaaban pula ibarat menyiram tanaman dan meletakkan baja. Manakala Ramadan pula bulan untuk kita menuai hasilnya.
Perbanyakkan Doa Ini
Tentunya, bulan mulia ini didatangkan dengan satu doa khas buat umat Islam agar mereka boleh memohon dapat menemui Ramadan tidak lama lagi.
Amalkan doa, “Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya’ban wa Balighna Ramadan.”
Maksudnya, “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada Ramadan.”
Mudah-mudahan doa kita itu akan diterima. Wallahualam.