Mungkin ramai yang tahu bunga Raya merupakan bunga rasmi negara kita. Namun adakah anda tahu bunga rasmi yang melambangkan negeri anda. Jika di Selangor, Shah Alam dikenali sebagai sebagai bandar Anggerik yang melambangkan bunga rasmi daerah ini. Selangor pula mengangkat Bunga Tanjong Pecah Sembilan sebagai bunga rasmi negeri.
Mesti ramai yang tidak tahu hal ini kan?
Untuk pengetahuan pembaca, pemilihan Bunga Tanjong Pecah Sembilan ini bukanlah satu perkara baharu. Bunga Tanjong menjadi pilihan Istana sejak awal kemunculan Kesultanan Selangor lagi dan ia menjadi identiti golongan istana dan juga bangsawan.
Kelopak Bunga Tanjong yang pecah Sembilan memiliki signifikan tersendiri kerana setiap kelopak tersebut melambangkan sembilan daerah dan jajahan di negeri ini. Bunga ini kecil saiznya namum tumbuh serangkai dan mengeluarkan bau yang harum dan segar.
Baru-baru ini dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena menyambut ulang tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-75, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah berkenan memakai persalinan kebaya tradisional yang telah ditelepuk emas bemotifkan Bunga Tanjong Pecah Sembilan.
Busana yang diperbuat daripada fabrik Tenun Pahang Diraja kurniaan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu telah direka oleh pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill.
Peletakan motif Bunga Tanjong Pecah Sembilan pada busana yang dipakai Tengku Permaisuri Selangor sungguh cantik dengan himpunan motif Bunga Tanjong secara banyak pada lengan dan labuh baju yang menampilkan kemewahan fabrik tenun itu sendiri. Padanan bersama tiga kerongsang besar dan juga selendang polos rona senada menyerlah gaya tradisi Melayu.
***Sebagai anak muda, tak luak jika kita belajar serba sedikit tentang sejarah. Sekurang-kurangnya bertambah ilmu di dada. Sejarah mengajar kita menjadi orang yang lebih menghargai.
Sumber gambar: Instagram Selangor Royal Office & Datuk Radzuan Radziwill
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.