Burung Pun Makhluk Allah! Buat Jerat Tapi Aniaya Sampai Mati Tak Datang Tengok Time PKP

Share

Setiap yang bernyawa adalah makhluk ciptaan Allah. Bukan saja manusia tapi binatang, bulan bintang, gunung ganang dan semuanya di dunia ini dijadikan Allah untuk pelbagai kegunaan dan keperluan.

Namun adakalanya kerana sikap sesetengah orang khususnya manusia yang diberi kelebihan akal berbanding makhluk lain, manusia menjadi perosak dan ancaman kepada makhluk lain untuk bebas menghirup udara ciptaan Allah.

Perkongsian dari Nik Nizam Nasir, Kampung Neting, Pengkalan Kubur Kelantan patut kita amati bersama. Hanya kerana suka membuat jerat tapi kemudian membiarkannya ditambah-tambah sukar akibat Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP) akhirnya burung gerek yang cantik ini mati. Bayangkanlah bila si ibu balik ke sarangnya dan dapati anaknya sudah mati. Mesti sedihkan!

Baca perkongsian ini dan semoga pelakunya berasa lebih insaf kerana setiap perbuatan kita akan ditanya di akhirat nanti di hadapan Allah taala.

Inilah burung gerek. Cantik sungguh makhluk ciptaan Allah ini terutama warnanya yang berwarna warni

TEGURAN BUAT ORANG YANG MENGANIAYAI BURUNG GEREK DI PERKUBURAN NETING PENGKALAN KUBUR.

Alkisahnya pagi tadi saya pergi ke perkuburan Neting Pangkalan Kubur Tumpat Kelantan atas suatu pengurusan jenazah. Kebetulan saya tengok banyak bangkai burung gerek mati di atas perkuburan tanah tersebut. Bila ditanya kenapa banyak sangat bangkai burung tersebut, ada seorang sahabat menjelaskan bahawa burung itu mati sebab di perangkap.

Kebiasaan burung ini akan membuat sarang di atas tanah. Maka ada anak-anak nakal di antara kita, yang meletakkan botol plastik yang dikerat untuk memerangkap burung yang hendak masuk ke lubang sarangnya. Apabila dibiarkan begitu lama, burung itu akan mati akibat terperangkap di dalam botol tersebut. ( gambar saya akan tunjukkan di bawah)
Umat Islam tidak dibenarkan menyiksa binatang apatah lagi dengan membiarkan burung itu mati didalam perangkap botol.

Burung ini bersarang di atas tanah dan kenakalan memasang jerat akhirnya memerangkap burung ini yang tidak mampu untuk keluar dari jerat tersebut

Perbuatan ini diibaratkan sengaja membunuhnya hanya semata mata untuk berseronok.

Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa , Rasulullah SAW bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.” Muttafaqun alaih.

Ibu burung ini akhirnya mati akibat terperangkap di dalam bekas plastik tersebut. Anaknya yang ada di dalam sarang juga tidak dapat makanan dan barangkali akan mati juga

Keduanya apabila ibu burung itu mati, maka seakan akan ia juga membiarkan anak burung itu mati kelaparan. Perbuatan memisahkan anak burung yang masih kecil dengan membiarkan ibunya mati didalam perangkap itu boleh mendatangkan kesusahan kepada anak burung tersebut. Ini kerana ia masih perlukan penjagaan dan perlindungan daripada ibunya, sama seperti kita manusia. Oleh sebab itulah perbuatan ini dilarang oleh syara‘.

Hal ini juga pernah diriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat. Riwayat anNasa’ie

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Masud ra mengenai anak burung yang dipisahkan daripada ibunya, beliau berkata:

Maksudnya: “Adalah kami bersama Rasulullah saw dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah saw berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya,. Lalu kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah ibu hummarah itu mengkebas-kebas kepaknya. Lalu Rasulullah saw pun datang dengan bersabda: “Siapa yang menyakiti (menyusahkan) anak-anak burung ini dengan (memisahkan) dari ibunya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya (Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya:

Membiarkan burung itu terperangkap sehingga menyebabkan kematian tanpa mengambil manfaat darinya adalah termasuk perbuatan yang berdosa . Penganiayaan atau penyeksaan terhadap binatang itu adalah satu kezaliman. Islam melarang keras kepada umatnya melakukan sebarang bentuk kezaliman baik sesama manusia mahupun terhadap binatang.

Dalam hal ini Nabi saw bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ ‏”
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkata, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kamu tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah. Riwayat Muslim

Perbuatan menyeksa atau menganiaya binatang adalah jelas haramnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah mengkategorikan menyeksa binatang itu termasuk dalam dosadosa
besar.

Rasulullah saw bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.”

Kepada penduduk sekitar, awasilah anak anda dari berbuat demikian.

Ingatlah bahawa kita akn dipertanggngjawabkan atas apa yang telah kita lakukan..

Nik Nizam Nasir
Qasrun Nubala Kg Geting

Published by
Almaswa Haji Che Ros