Cabar Kebolehan Mengacara Dalam Program Pendidikan, Mira Nazir Kini Hos Didik TV

Share

Nursyamira Izzati Mohd Nazir atau lebih dikenali sebagai Mira Nazir pernah memecahkan rekod pencarian Dewi Remaja kerana menjadi peserta berhijab pertama yang beraksi di pentas final.

Selepas menamatkan program pencarian Dewi Remaja 2019, rezeki Mira Nazir nampaknya lebih ke arah bidang pengacaraan kerana selepas menjadi hos dalam program bual bicara Infiniteen di stesen RTM, Mira kini menjadi hos bagi rancangan Mahir di siaran Didik TV.

“Alhamdulillah, selepas mengacarakan program remaja, Infiniteen, Mira kini diberi peluang untuk menjadi hos bagi program pendidikan pula. Mahir adalah sebuah rancangan pendidikan yang memaparkan pembelajaran secara teknikal dan kemahiran. Guru jemputan yang hadir tidak mengajar menggunakan slides atau white board, tetapi mereka perlu lebih memfokuskan pada teknik kemahiran dan kreativiti,”

“Rancangan ini meliputi semua subjek mata pelajaran di sekolah daripada peringkat tadika hinggalah Sekolah Menengah. Banyak yang saya pelajari sepanjang mengacarakan program ini kerana jika mahu dibandingkan dengan program pengacaraan sebelum ini, ia sangat berbeza kerana kini lebih tertumpu pada bidang pendidikan,” jelas Mira Nazir.

Buat ulangkaji semula

Mira juga mengakui bahawa tidak mudah untuk mengacarakan sebuah program pendidikan kerana baginya, dia perlu menjadi seorang yang bijak ketika berhadapan dengan kamera dan guru jemputan.

“Sebelum memulakan program siaran langsung, saya akan membuat ulang kaji serba sedikit dengan mencari tahu subjek pembelajaran terkini pelajar di sekolah. Bukan apa, saya ni boleh dikatakan sudah lama meninggalkan persekolahan, mungkin sistem pembelajaran dah tak sama seperti dahulu. Jadi, penting untuk saya untuk membuat research dan sedikit ulang kaji sebelum beraksi di kaca televisyen,”

“Saya juga akan bertanyakan kepada guru jemputan untuk memastikan segala informasi yang diperoleh dan pemahaman saya adalah betul atau tidak. Sekiranya ada kesalahan, guru tersebut akan memperbetulkan kesilapan itu sebelum kami memulakan penggambaran,” sambungnya lagi.

Ditanya apakah perbezaan mengacara program Infiniteen dan Mahir, Mira menjelaskan kedua-dua program tersebut seakan sama kerana ia dilakukan secara langsung. Namun, apa yang berbezanya adalah daripada segi pengisiannya.

“Daripada segi pengacaraan, program Infiniteen adalah lebih santai dan saya turut digandingkan bersama pengacara lain. Tetamu undangan pula dibuat secara dalam talian atau pun live di studio. Bagi Didik TV pula, saya ditugaskan secara berseorangan dengan seorang guru jemputan. Sudah tentu saya menonjolkan intelektual dan sentiasa alert dengan topik-topik pendidikan,”

“Namun, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing. Saya senang untuk mengacarakan program-program tersebut dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi hos dalam dua program yang berbeza genrenya,”

“Mana tahu mungkin selepas ini rezeki saya untuk mengacarakan program jenayah atau pertanian pula kan?” kata Mira.

Published by
Noor Ain Norman