Cadangan Pengisytiharan DARURAT Kepada Agong Tidak Bermaksud ‘Tentera Memerintah’, Cuma..

Share

 

Perkembangan terbaru yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara iaitu Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada pagi ini telah memaklumkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menerima cadangan Pengisytiharan Proklamasi Darurat daripada YAB Perdana Menteri Malaysia.

Sesi menghadap yang berlangsung pada jam 5.30 malam itu diadakan untuk Tan Sri Muhyidding Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet mengenai cadangan tersebut demi melandaikan kes positif COVID-19 harian yang telah mencecah empat angka secara konsisten sejak bulan Disember lalu.

Setelah memperhalusi penjelasan pakar dan setelah rundingan dengan Raja-Raja Melayu diambil kira, maka Al-Sultan Abdullah bersetuju bahawa penularan wabak pada masa ini di Malaysia berada pada tahap yang amat kritikal.

Menurut kenyataan media itu juga, Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk tempoh perlaksanaan darurat itu dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 atau satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sebuah jawatankuasa bebas juga akan dibentuk oleh kerajaan untuk menyaksikan perlaksanaan ini berjalan lancar. Jawatankuasa tesebut akan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Memahami sentimen yang dirasai oleh rakyat berkenaan kekeliruan terma ‘darurat’ ni, Al-Sultan Abdullah meminta rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal. Apa yang diseru oleh Seri Paduka Baginda adalah agar rakyat berdisplin mematuhi SOP dan segala perintah yang ditetapkan sepanjang perlaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

*

Untuk pengetahuan, Pengisytiharan Proklamasi Darurat ini bukanlah bermaksud negara kita akan diperintah oleh anggota tentera secara rampasan seperti khabar angin yang selalu kita dengar. Ia juga tidak bermaksud akan ada perintah berkurung di rumah.

Bukanlah untuk menafikan perkara itu boleh terjadi. Namun dalam kes wabak COVID-19 ini, ancaman yang sedang negara hadapi terletak pada faktor keselamatan negara dan kehidupan ekonomi; bukannya ketenteramaan sejagat yang memaksa pemerintahan ala tentera. Kegiatan ekonomi masih boleh dilakukan dengan syarat ia mengikut norma baharu yang dilaksanakan.

Apabila darurat diisytiharkan, apa yang pasti, segala bentuk Pilihan Raya sama ada Pilihan Raya Kecil, Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum akan dihalang dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh itu.

Selain itu, ia juga membolehkan penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara bangunan, tanah dan harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta DEMI tujuan merawat pesakit COVID-19.

Ini memandangkan lima belas hospital COVID-19 telah mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Di Lembah Klang saja, katil ICU untuk pesakit COVID-19 telah digunakan 100 peratus di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Manakala kebanyakan hospital di negeri lain seperti di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah mencapai kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus. Maka, kerjasama dari pihak swasta amat diperlukan.

Sumber Foto: AWANI.

Dalam kesempatan kenyataan media oleh pihak Istana Negara, Al Sultan Abdullah, Baginda mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa agar negara dilindungi daripada segala bentuk ancaman wabak dan ia diakhiri dengan segera.

Baginda turut mengajak rakyat mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri pada waktu ini tidak berpanjangan.

ARTIKEL BERKAITAN : Perdana Menteri Umum Pengumuman Khas Darurat, 9 Perkara Anak Muda Kena Tahu Tentang Situasi Genting Ini – REMAJA

Published by
FZ