Kerajaan Malaysia telah pun mewajibkan mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang dari luar negara menandatangani Surat Aku Janji dan Indemniti (Letter of Undertaking) bermula 1 Jun ini adalah bertujuan memastikan pusat kuarantin mencukupi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, LOU ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan caj 50 peratus kos kuarantin iaitu RM75 sehari kepada mereka yang pulang selepas 1 Jun 2020.
Menurut beliau, keputusan menandatangani LOU ini juga dapat memastikan mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang ke negara ini tidak terkejut dengan caj kuarantin hotel perlu ditanggung sebaik sahaja mereka tiba di tanah air.
Setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LOU lengkap ke e-mel Perwakilan Malaysia selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas.
LOU ini boleh dimuat turun bermula hari ini dari laman sesawang Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Empat agensi lain juga akan memuat naik LOU tersebut dalam portal masing-masing dalam masa yang terdekat iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Semalam, seramai 299 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib.
Apa-apa pun rakyat Malaysia harus bersyukur kerana pihak kerajaan masih menanggung 50 peratus daripada kos pembiayaan pusat kuarantin.
Sumber: Sinar Harian