Setelah Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin mengumumkan pemberian suntikan dos vaksin kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 18 Jun lalu, ramai telah menerima baik perlaksanaan tersebut.
Ia demi menjamin keadaan calon yang lebih selamat sewaktu menduduki peperiksaan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada bulan Februari 2022. Malah, pelajar juga lebih mudah mempersiapkan diri di sekolah bersama tenaga pengajar kira-kira 6 bulan sebelum tarikh kedua-dua peperiksaan itu.
View this post on Instagram
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan berkenaan proses suntikan dos vaksin ini yang akan dilakukan di kawasan sekolah calon peperiksaan. Ia dijangka diterima oleh calon peperiksaan seawal pertengahan Julai hadapan bergantung kepada keadaan pandemik di seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN : Terkini : Calon SPM & STPM 2021 Terima Dos Vaksin Covid-19 Seawal Julai – REMAJA
Menurut KJ, kerajaan telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas. Vaksin ini menjadi pilihan berikutan kelulusan yang diperolehi daripada Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang berpendapat Pfizer-BioNTech selamat untuk golongan semuda 12 hingga 17 tahun.
Ya, ada kes kesan sampingan dilaporkan di negara-negara yang terlebih dahulu telah meluluskan suntikan vaksin kepada kanan-kanak semuda 12 tahun. Ini termasuklah kesan sampingan seperti Myocarditis iaitu keradangan otot jantung dan Pericarditis iaitu keradangan lapisan jantung.
Bagaimanapun, kes yang dicatatkan ini amat jarang berlaku dan sekiranya pesakit (yang menerima kesan sampingan) dirawat dengan pantas, mereka dilaporkan cepat sembuh semula.
Jelas, kelebihan vaksinasi COVID-19 jauh lebih memberikan kelebihan berbandingan faktor sampingan yang disebutkan tadi.
Buat masa ini, pemberian vaksin kepada calon peperiksaan SPM dan STPM akan dibuat secara berperingkat; di mana kumpulan pelajar di luar bandar yang rata-rata berdepan kesukaran mendapatkan akses internet bagi proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) diberikan keutamaan. Secara tidak langsung, mereka lebih selesa untuk kembali belajar di sekolah secara bersemuka.
Apapun, bagi pelajar yang bukanlah calon peperiksaan, jangan risau.
Korang juga tidak terlepas daripada peluang mendapatkan suntikan vaksin setelah kerajaan mengumumkan bahawa pemberian ini akan disegerakan dan diperluaskan kepada golongan pelajar lain. Mereka juga yakin ramai remaja yang akan mendaftar untuk menerima vaksin memandangkan kita lebih faham akan kepentingan vaksin untuk kesihatan serta masa hadapan kita.
*
Tinjauan REMAJA pada aplikasi MySejahtera juga menunjukkan kategori vaksinasi baharu di bawah pilihan ‘Add Vaccine Dependent’.
Sebelum ini, ia mencatatkan hanya golongan berusia 18 tahun ke atas saja yang layak menerima dos vaksin. Oleh itu, perkembangan terbaruu ini selari dengan fasa kelima Program Imunisasi COVID-19 Nasional yang meletakkan vaksinasi kumpulan kanak-kanak untuk bermula pada Ogos tahun ini.