Umum mengetahui, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal diadakan tidak lama lagi. Inilah waktu masyarakat setempat mengetahui calon wakil rakyat mereka yang bakal dipilih.
Kebiasaannya, wakil rakyat dikalangan calon yang telah berpengalaman lama dan sudah tentu agak berusia sedikit, namun bagi PRN Melaka kali ini, calon Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd Nasir mencuri perhatian kerana menjadi calon termuda.
Baru berusia 21 tahun, Farzana bakal bertanding kerusi DUN Sungai Rambai dan menurutnya kepada Berita Harian, walaupun baru setahun jagung dalam arena politik, namun beliau yakin pengundi semakin bijak dan matang menerima orang muda sebagai wakil rakyat.
“Usia bukan faktor utama untuk menjadi wakil rakyat, apa lebih penting berupaya memahami masalah dan berusaha selesaikannya. Saya percaya pengundi akan menilai berdasarkan tekad dan kesungguhan membantu rakyat dan membawa perubahan,” jelasnya.
Farzana juga merupakan mahasiswa di sebuah universiti tempatan dan katanya, beliau akan memberikan tumpuan kepada pembangunan generasi muda dalam bidang pendidikan kerana masalah liputan internet di DUN Sungai Rambai menyukarkan golongan muda yang kini bergantung sepenuhnya kepada kemudahan teknologi untuk belajar dan bekerja.
“Saya mahu meluaskan lagi liputan internet di DUN Sungai Rambai. Ia kini menjadi antara keperluan penting dalam kehidupan masyarakat. Bukan saja pendidikan, malah saya akan memperkasakan sektor keusahawanan wanita di Sungai Rambai,” katanya.
Gadis ini juga kini sedang sibuk turun padang untuk bertemu dengan rakyat tempatan sempena kempen mengundi yang bakal dijadualkan pada 20 November depan.
Selamat maju jaya diucapkan kepada Farzana dan semoga beliau tetap terus membela nasib anak muda di Sungai Rambai.
Sumber: (1)