Lima tahun lalu Larissa Ping membanggakan Malaysia apabila dia berjaya membawa nama negara ke peringkat top 30 di pertandingan Miss World 2018. Selain itu, sepanjang bertanding kelibatnya begitu menyerlah.
Apakan tidak, dia berjaya berada di kedudukan kelima dalam kategori bakat, top 5 bagi kategori World Fashion Designer Award dan top 12 kategori Beauty with a Purpose.
Khabar terkini anak jati Sarawak ini dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijzah Sarjana Muda Undang-Undang daripada university terkemuka Malaysia, Universiti Malaya (UM). Berkongsi kisah gembiranya itu di Instagram, jelas gadis berusia24 tahun ini bukan sekadar cantik tetapi ‘berisi’.
“Segala puji bagi Tuhan untuk perjalanan ini kerana memberkati saya dengan orang-orang yang luar biasa yang menjadikan segala-galanya bermakna untuk diperjuangkan. Seluruh keluarga saya tidak dapat berada di sini untuk melihat saya menamatkan pengajian.
“Namun kehadiran beberapa orang yang saya sayangi muncul dengan kostum Kenyah sangat bermakna bagi saya. Sepanjang saya berada di semenanjung, ada kalanya saya rasa tidak kena pada tempatnya.
“Tetapi terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan Sarawak saya di KL, anda sentiasa membuat segala-galanya terasa seperti di rumah sendiri,” ujarnya panjang mengenang kembali saat-saat belajar jauh ribuan batu dari kampung halamannya.
BACA JUGA:
“Pendapatan Cukup Makan Sebagai Penoreh Getah,” – Nurul Syazwani Kenang Jasa Ibu Saudara & Arwah Nenek Besarkan DirinyaTidak lengkap kehidupan sebagai seorang pelajar tanpa pelbagai kerenah sepanjang pengajian. Memori yang tersemat berjuang untuk mendapat segulung ijazah menjadi kenangan terindah.
Memanjatkan rasa syukur, anak jati Sarawak ini berkongsi, “Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pensyarah atas ilmu yang dicurahkan kepada saya, dan juga kepada rakan-rakan seperjuangan, rakan sekelas, rakan sekumpulan atau rakan-rakan kerana menjadikan pengalaman saya di fakulti undang-undang lebih baik.
“Kepada sahabat baik saya, Eirene Nabila Williams-Hunt yang berada bersama saya sejak hari pertama, terima kasih banyak untuk segalanya. Kamu berada bersama dalam keadaan paling teruk saya, dan juga di sana bersorak untuk saya pada tahap terbaik saya.”
Semestinya kejayaan ratu cantik Malaysia ini dalam pelajaran memberikan inspirasi kepada remaja-remaja di Malaysia untuk tidak mengabaikan pelajaran. Seperti dirinya biarpun bergelar Miss World Malaysia, jelas pelajaran menjadi keutamaan dan tidak terbuai dalam dunia glamor.
Sumber & foto: Instagram Larissa Ping
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.