Cantik, Berpendidikan & Dermawan, Cinta Laura Kiehl Bina Sekolah Untuk Golongan Kurang Berkemampuan

Share

Kalau anda pernah menonton sinetron Upik Abu & Laura yang pernah disiarkan di stesen TV3 suatu ketika dahulu, pasti anda kenal dengan sosok Cinta Laura Kiehl yang memegang watak sebagai Laura, seorang gadis yang kaya, mengada-ngada dan sombong.

Dia yang turut menyanyikan lagu runut bunyi untuk sinetron tersebut menjadi popular dek kecantikan dan kemanjaan yang ditonjolkan. Lagu bergenre bubblegum, You Say Aq menjadi siulan ramai.

Di sebalik watak yang ditonjolkan dengan pelat aslinya yang jelas kedengaran, tahukah anda bahawa wanita berusia 29 tahun ini merupakan seorang graduan lepasan Columbia University pada 2014 dalam dua bidang sekaligus iaitu Psikologi dan Sastera Jerman.

Menjadikan kejayaannya lebih hebat apabila dia menjadi satu-satunya pelajar yang menamatkan pengajian dalam dua bidang sekaligus serta mencapai tahap Cum Laude dalam masa hanya tiga tahun sahaja.

Walaupun berkemampuan, wanita cantik ini punya tabiat yang sangat murni. Dia tidak suka membeli barangan mewah yang mahal. Dalam satu kenyataan dalam satu temubual di saluran YouTube, Cinta Laura menyatakan bahawa dia rasa bersalah kalau membeli barangan mewah.

Melihat pembelian dari perspektif yang luas, dengan wang yang digunakan untuk membeli barangan tersebut dia boleh membantu banyak keluarga yang kurang berkemampuan. Namun, dia tidak menafikan ada membeli barangan mewah namun bukan kerap, sebaliknya setiap pembelian ada makna seperti hadiah kepada diri sendiri setelah penat bekerja.

BINA SEKOLAH

Walaupun dibesarkan dalam suasana serba serbi ada, anak kacukan Indonesia dan Jerman ini memiliki jiwa yang besar. Dia sangat prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan.

Percaya yang pendidikan mampu mengubah nasib seseorang, Cinta Laura bersama dengan Yayasan Soekarseno yang dimiliki keluarganya menumpukan kepada proses membaik pulih serta pembinaan beberapa buah sekolah di kawasan desa terpencil.

Setakat tahun 2021, sebanyak 11 sekolah telah dibaik pulih dan dibina demi kegunaan anak bangsa. Tidak hanya menyalurkan dana, Cinta Laura juga memastikan pelajar yang bersekolah di sana boleh berdiri di atas kaki sendiri daripada segi kewangan.

Oleh sebab itu, beberapa program ekstra kokurikulum untuk mengembangkan bakat para pelajar diwujudkan bertujuan untuk menambah pendapatan keluarga. Salah satu kelas tersebut adalah seni menjahit yang mana hasilnya akan dijual untuk menambah pendapatan mereka.

Cinta Laura percaya bahawa menerusi pendidikan, nasib kanak-kanak kurang berkemampuan mampu diubah. Menerusi pendidikan mereka akan mendapat peluang yang lebih besar sekaligus keluar dari kempmpong kemiskinan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen