Cantik, Bijak Dan Berani. Pakej Lengkap Milik Juruterbang Wanita MAS, Khaysha Faizal

Share

Siapa kata wanita cantik tak mampu menempah kejayaan di lapangan yang lasak. Apatah lagi apabila diberi tanggungjawab mengemudi pemanduan tinggi di awangan!

ARTIKEL BERKAITAN : Cantik & Pantas Bertindak, Juruterbang Wanita Monica Khanna Selamatkan Nyawa 185 Penumpang

Khaysha Mohd. Faizal Sivanathan bukanlah calang-calang wanita, figura ini merupakan juruterbang kanan di Malaysia Airlines Berhad (MAS).

foto via instagram

Siapa sangka, profesion menjadi juruterbang sebenarnya tidak pernah langsung singgah pada benaknya. Wanita itu lebih mengidamkan untuk menjadi guru. Pun demikian, qada dan qadar sudah menentukan sebaliknya.

Ketika pertama kali berpeluang berada di dalam isi pesawat ketika melancong bersama ahli keluarga ke Zurich, Switzerland pada usia 15 tahun, perspektif Khaysha berubah.

“Ketika dalam penerbangan, saya terfikir, kalau jadi juruterbang pun okey juga sebab boleh melancong ke negara orang dengan percuma.

“Saya juga sangat kagum dan taasub dengan kejuruteraan sebuah pesawat gergasi yang mampu melawan graviti untuk terbang tinggi. Bermula dari situ, saya bertekad untuk menjadi juruterbang,“ imbaunya.

Ditentang Ayah

Apa yang direncana Khaysha nampaknya tidak berjalan lancar memandangkan ayah tersayang mahu melihat beliau bergelar seorang doktor.

“Saya sebenarnya sudah lanjutkan pengajian dalam Asasi Sains, tetapi bertahan selama dua bulan sahaja kerana jiwa saya bukan di situ.

“Saya kembali memujuk ayah untuk membenarkan saya merealisasikan cita-cita saya. Saya kemudian mencari sendiri akademi penerbangan persendirian dan akhirnya saya menuntut ilmu di sebuah syarikat swasta di Langkawi, Kedah,“ katanya.

Mahu Bukti Kemampuan

Berbekalkan lesen juruterbang komersial dan juruterbang pengangkutan syarikat penerbangan, anak kedua daripada tiga beradik itu berusaha mencari peluang berkhidmat di syarikat penerbangan tempatan.

“Masa itu, persaingan cukup sengit. Tak mahu mengganggur terlalu lama, saya mengasah kemahiran dengan menjadi seorang tenaga pengajar di sebuah agensi simulator penerbangan awam selama enam bulan sebelum diterima sebagai kadet juruterbang di Malindo Air (kini dikenali sebagai Batik Air Malaysia),“ kata Khaysha yang memaklumkan beliau merupakan antara kira- kira antara 30 juruterbang wanita di MAS.

Ujar beliau, dirinya mahu membuktikan kemampuan dalam industri yang dimonopoli kaum Adam. Serentak dengan itu, beliau juga mahu menepis pandangan skeptikal orang ramai yang masih memandang rendah terhadap keupayaan juruterbang wanita.

“Kami menjalani latihan yang sama tanpa ada diskriminasi gender, jadi tak perlulah timbul isu siapa yang lebih baik atau sebaliknya,“ tegasnya.

Cabaran sebagai juru­terbang wanita?

Sejujurnya, bagi saya walaupun dipandang rendah oleh sesetengah pihak, tidak bermakna seorang wanita itu tidak boleh menjadi juruterbang yang bagus. Saya bernasib baik kerana dikelilingi rakan-rakan sekerja yang menghormati tanpa mengira pangkat sama ada kapten, kru penerbangan hingga kru teknikal.

Untuk info, berdasarkan statistik Persatuan Juruterbang Wanita Antarabangsa (2021), daripada 720,605, hanya 64,979 orang terdiri daripada juruterbang wanita. Jadi, juruterbang ini wajar dijadikan contoh anak muda dan remaja yang punya cita-cita serupa. Go girl!

BACA : Pecah Rekod, Remaja 17 Tahun Jadi Juruterbang Termuda Terbang Solo Keliling Dunia

Sumber : 1 ,

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana