Cantik Dan Berpendidikan Tinggi, Pelajar Universiti Dong Nai Bergelar Juara Miss World Vietnam 2022

Share

Menceburi dunia ratu tidak semestinya harus meninggalkan pelajaran, sebaliknya kedua-dua minat tersebut boleh berjalan seiring jika pandai membahagikan masa. Seperti Huynh Nguyen Mai Phuong, gadis berusia 22 tahun yang merupakan pelajar Universiti Dong Nai ini, dia cemerlang dalam kedua-dua bidang.

Ogos lalu dia baru sahaja diumumkan sebagai Miss World Vietnam 2022 apabila berjaya mengalahkan 36 peserta lain untuk mendapat mahkota yang diidamkan ramai itu. Dalam malam finale yang disambut penuh gemilang itu, dia telah dimahkotakan oleh Miss World Vietnam 2019, Luong Thuy Linh.

Ketika berada di peringkat top 5, dia ditanya soalan oleh Tran Tieu Vy yang berbunyi, “Jika anda terpaksa memilih antara menyediakan 1,000 hidangan sehari dan mencipta 1,000 pekerjaan, apakah yang akan anda pilih?”

Tanpa ragu Mai Phuong terus menjawab, “Semasa pandemik Covid-19 melanda, saya bekerja sebagai sukarelawan di dapur yang menyediakan 3,000 ke 5,000 hidangan sehari. Dua perkara ini sangat mendesak.

“Mengapa kita perlu memilih satu apabila kita boleh melakukannya secara selari. Kita boleh mencipta 1,000 pekerjaan, jadi 1,000 pekerjaan boleh mencipta berjuta-juta makanan untuk kanak-kanak di dunia. Maka, tiada siapa yang akan terabai.”

Jawapan yang diberikan cukup bernas sehingga dia menerima tepukan yang gemuruh daripada penonton yang menyaksikan secara langsung acara tersebut. Tidak memilih antara salah satu sebaliknya memberikan penegasan kepada masalah dan juga penyelesaiannya.

Selepas itu, keputusan tempat kelima hingga ketiga diumumkan terlebih dahulu. Meninggalkan dua peserta terbaik untuk menjawab soalan akhir yang diajukan oleh Miss World 2021, Karolina Biewlaska.

ARTIKEL BERKAITAN: Juara Vietnam Next Top Model Musim Ketujuh Kini Bergelar Miss Universe Vietnam 2022

Soalan yang diberikan berbunyi, “Dalam konteks integrasi dunia yang mendalam dan luas, banyak negara berisiko kehilangan identiti nasional mereka. Apa pendapat kamu tentang perkara ini?”

Dia menjawab dalam berbahasa Inggeris dengan fasih, “Dalam pembangunan dunia yang pelbagai, saya telah melihat integrasi yang hebat. Apabila wakil Miss World datang ke Vietnam, kami menerima ucapan dalam bahasa Vietnam. Saya bukan sahaja bercakap tentang kisah salam, tetapi juga kisah bahasa, apabila mana-mana warga asing yang datang ke Vietnam juga menggunakan bahasa Vietnam untuk berkomunikasi.

“Bukan sahaja kisah mengenai Tet, Banh Chung dan nilai budaya Vietnam yang dibawa ke dunia, tetapi juga Ao Dai. Saya memanggil kesemua ini sebagai nilai yang paling unik, simbolik dan identiti. Orang muda perlu berbangga, bawa nilai ini ke mana-mana sahaja.”

Pada malam itu, selain Mai Phuong yang bergelar juara. Rakan seuniversitinya, Le Nguyen Bhao Ngoc telah diumukan sebagai pemenang tempat kedua. Walaupun tidak berjaya memenangi takhta Miss World Vietnam, Bhao Ngoc tidak pulang dengan tangan kosong apabila dia dipilih untuk mewakili negaranya di pertandingan Miss Intercontinental 2022.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen