Cantik Macam Maldives, ‘Sungai Biru’ Di Kedah Sebenarnya Kawasan Air Berasid?

Share

Tak sangka di Malaysia pun ada kawasan sungai secantik ini!

Selalunya apabila bercakap tentang kawasan perairan berwarna biru terang, kita selalu teringat kepada lautan di Maldives atau Australia.

Paling dekat dengan Malaysia pun ada, tapi kita perlu ke Kuang Si Falls di Laos ataupun ke Kawasan Falls di Cebu, Filipina.

Kawasan Falls di Cebu, Filipina.

Namun sejak mendapat perhatian meluas media alternatif dan media sosial, sebuah kawasan perairan berdekatan dengan Gunung Keriang, Kedah mula dikunjungi bukan saja penduduk sekitar malah remaja dari seluruh negara.

Ini semua kerana warna airnya yang kebiruan dan jarang sekali dapat dilihat di Malaysia.

Popular dengan gelaran ‘Sungai Biru’, pengunjung mengakui mereka mendapat tahu tentang kewujudan sungai ini setelah ia tular di media sosial bermula awal tahun ini.

Walaupun keadaan airnya cantik sepanjang masa, waktu terbaik untuk mengambil foto adalah dari waktu pagi sehinggalah sekitar pukul 2 petang, apabila kedudukan matahari memberi pantulan terbaik.

Tambahan pula dengan latar belakang kawasan sawah berdekatan  Gunung Keriang, memang cantiklah gambar korang. Kontras warna hijau dan biru memang onz!

‘Sungai Biru’ juga menjadi tumpuan para pemancing kerana keadaan airnya yang tidak berkelodak. Begitu juga dengan pengunjung yang gemar berenang.

Walau bagaimanapun, setelah kawasan ini menular, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah pada minggu lepas tampil membuat kenyataan bahawa kawasan tersebut  adalah kawasan larangan dan tak membenarkan orang ramai untuk masuk.

Rupa-rupanya, papan tanda larangan masuk dan pita pelekat sudah pun dipacak serta dipasang selama ini.

‘Sungai Biru’ katanya mempunyai parit dalam, arus deras, tebing curam dan jalan masuk yang sudah rosak.

Ia pernah digunakan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah / Anak Bukit. Warna biru sungai juga terjadi kerana proses pemendapan tanahnya. Oleh sebab itulah, ia berbahaya untuk pengunjung kerana kemungkinan tanah boleh mendap pada bila-bila masa.

Malah, kualiti airnya yang tak pernah diperiksa oleh pihak berkuasa sebenarnya berbahaya kepada yang berenang di sini. Mana tahu, ada kandungan bertoksik ke tak.

Hhm, dah cantik tapi tak boleh masuk pulak.

Beberapa hari yang lalu, wartawan dari Sinar Harian melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan telah segera memeriksa keadaan Sungai Biru ini. Ujian terhadap sampel airnya dan keadaan tanah di situ dilakukan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kedah / Perlis / Pulau Pinang (JMG KPP).

Kata Pengarah JMG KPP iaitu Azhari Ahmad, “Apabila kita dapat keputusan makmal, barulah kita dapat tentukan kandungan dalam air sungai biru dan puncanya, sama ada asli atau kerana bahan lain.”

Dalam pada itu, pada Rabu lepas, kajian kimia lapangan telah dilakukan di situ. Hasilnya, air berwarna biru menunjukkan nilai pH rendah sekitar 2.9 ke 3.5, manakala air berwarna normal pula sekitar 5.5 iaitu nilai yang hampir normal.

Kini mereka sedang menunggu keputusan analisis kimia makmal pula.

REMAJA nasihatkan agar korang janganlah gian sangat nak mandi, memancing atau menceroboh masuk ke situ buat masa ini atas faktor keselamatan air dan tanahnya.

Tunggu dulu keputusan makmal alright.

Published by
FZ