Bergelar ratu sehari pastinya penampilan memainkan peranan penting dalam menaikkan seri. Tidak dapat disangkal, wajah anggun dan manis Mira menjadikan dia tampil sajak mengenakan apa sahaja persalinan.
Sepanjang tiga majlis berlangsung, Mira memilih untuk menggayakan rekaan dari tiga pereka fesyen berbeza. Untuk majlis pernikahan dia memilih jenama Rizman Ruzaini manakala untuk resepsi pertama dia tampil bagaikan ratu dalam persalinan jenama Fizi Woo. Akhir sekali hari ini untuk resepsi majlis dalam taman, dia menyerlah dalam persalinan rekaan Rico Rinaldi.
MAJLIS PERNIKAHAN
Rekaan kurung Pahang tradisi yang cukup regal oleh Rizman Ruzaini ini menampilkan siluet yang ringkas tanpa manipulasi yang keterlaluan, cukup hanya dengan tambahan ribuan jemeki sarat berkilau di hujung baju dan lengan. Memang sesuai digayakan untuk majlis pernikahan.
RESEPSI PERTAMA
Siapa tidak kenal dengan hasil kerja Fizi Woo, setiap kali menghasilkan busana perkahwinan terutamanya, pasti memukau mata yang memandang. Gaun ballgown penuh perincian pada bahagian badan dengan rona emas mengambil inspirasi corak geometri Arabesque. Bahagian bawah gaun pula dibiarkan polos untuk menyeimbangkan stail keseluruhan agar tidak terlalu sarat.
RESEPSI KEDUA
Busana rona biru lembut ini cukup istimewa. Diilhamkan oleh Rico Rinaldi, rekaan gaun longgar berbelah hingga paras paha ini dikejutkan dengan padanan seluar sekaligus menyuntik nuansa moden pada rupa keseluruhan Mira. Biarpun bahagian dada dan lengan sarat dengan perincian namun ia cukup memberi justifikasi dan masih nampak segar.,
Kredit Foto: Instagram Rizman Ruzaini, Rico Rinaldi, Fizi Woo & Mira Filzah