Kontroversi yang dicetuskan oleh rapper, Caprice sejak hujung minggu lalu berhubung misi kemanusiaan ke Palestin telah mendapat pelbagai pandangan masyarakat dalam tempoh dua hari ini.
Ia tercetus setelah Caprice mendedahkan teguran yang diberikannya kepada pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew dan pasukannya berikutan rungutan yang diterimanya daripada penduduk di Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan dan berkongsi momen pemberian tersebut di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN : Dedah Situasi Bertemu Caprice Di Mesir, Akaun Instagram Pemuda Ini ‘Hilang’? – REMAJA
Menurut Caprice, 32, dia merancang untuk ‘membongkarkan’ segala perkara yang tidak memuaskan hatinya lusa ini. Kenyataannya itu mendatangkan rasa tidak sabar di kalangan warganet. Tidak kurang juga yang merasakan tingkah laku pemilik nama Ariz Ramli ini tidak mencerminkan kematangan usianya ataupun kerja sukarelawan yang dilakukannya untuk rakyat Palestin, baru-baru ini.
Bagaimanapun, segala vibe negatif itu seakan pudar pagi tadi apabila Caprice memohon maaf menerusi akaun Instagramnya.
Tinjauan REMAJA ke bahagian Instagram Stories-nya pula mendapati satu posting kosong; seakan mencerminkan keinginannya untuk melupakan kontroversi kali ini.
Permohonan maaf itu ditujukan Caprice kepada beberapa individu yang namanya terkait dalam kontroversi hujung minggu lalu. Ini termasuklah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Johor, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan tentunya, Ustaz Ebit Lew.
“Caprice mohon maaf atas kesilapan Caprice di mana kita terlalu emosi tentang (perjuangan) kita demi ummah, demi Palestin dan demi rakyat Malaysia.
“Apa yang berlaku adalah kesilapan Caprice sendiri dan tidak (melibatkan) pihak lain.
“Akhir sekali, Caprice minta maaf kepada ibu dan ayah Caprice kerana membuatkan kalian risau akan keselamatan saya. Saya sayangkan kalian dan niat saya sejak hari saya memilih untuk berdikari pada usia 16 tahun adalah untuk membuatkan kalian berbangga.
“Minta maaf kepada Malaysia dan rakyat Malaysia,” catatnya.
Caprice turut menghulurkan penghargaannya kepada mereka yang membantu misinya di Mesir. Dia juga hanya akan pulang ke tanah air selepas menyelesaikan segala urusan serta menunaikan janjinya kepada rakyat Palestin di sana.
Adakah Caprice masih akan meneruskan sesi pendedahan mengenai perkara berbangkit selepas misi kemanusiaan yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew baru-baru ini? Sama-samalah kita nantikan.