Pada zaman moden ini jangan terasa pelik kalau kejadian pukau boleh berlaku pada seseorang. Apakah yang dikatakan pukau ini? PUKAU itu sendiri menjelaskan maksud di setiap huruf yang diwakili.
- P – Pujukan
- U – Ungkapan
- K – Kata-kata
- A – Ayat azimat
- U – Umpan
Pendek cerita maksud PUKAU adalah hilang akal buat seketika, bingung atau terdiam atau tidak dapat melakukan sesuatu dengan fikiran yang waras. Pukau juga boleh dikaitkan dengan minda bawah sedar. Ianya bermaksud kita melakukan sesuatu tanpa kita sedari dengan akal fikiran yang waras.
Sebenarnya pukau boleh digunakan untuk dua perkara iaitu BAIK dan JAHAT. Pukau cara baik biasanya digunakan untuk tujuan perubatan oleh doktor psikologi atau kaunselor. Ada kalanya ianya digunakan untuk kaedah penyiasatan oleh pihak berkuasa. Pukau cara jahat pula biasanya digunakan untuk perkara seperti merompak, membunuh, merogol dan lain-lain yang bersifat jahat.
Pukau boleh berlaku melalui beberapa kaedah. Antaranya:
- Hembusan asap rokok
- Renungan mata dan senyuman
- Bersalaman
- Menepuk bahu dari belakang
- Membuang najis atau pakaian buruk di hadapan rumah mangsa
- Membuang telur busuk dan sebelah selipar di depan rumah
Antara tanda anda terkena pukau:
- Melihat sesuatu yang hodoh menjadi cantik
- Jantung terasa berdebar-debar
- Sakit di bahagian belakang badan dan sering sakit kepala menjelang Maghrib
Mereka yang terkena pukau ini biasanya tidak akan sedar dengan perubahan yang berlaku pada diri mereka jika tidak ditegur oleh orang-orang terdekat. Banyak kes pukau terjadi di mesin pengeluaran wang.
Saat kita cuba mengeluarkan duit, tiba-tiba ada orang menepuk bahu dari belakang sambil menghembuskan asap rokok. Lelaki itu meminta semua wang yang dikeluarkan daripada mesin ATM tadi.
Bila dipukau, kita tak akan teragak-agak menyerahkan semua wang kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu. Saat dipukau, kesannya bukan hilang dalam sehari dua tetapi ada sehingga dua minggu kerana dalam satu kes, mangsa pukau mengadu sakit kepala dan sukar tidur selepas kejadian itu. Hanya setelah dirujuk kepada pengamal perubatan Islam, barulah penyakitnya beransur sembuh dan dia boleh menjalani hidup seperti biasa.
Sebenarnya, kejadian pukau bukanlah sesuatu yang luar biasa berlaku di negara kita. Di mana-mana sahaja di dalam media massa atau internet, kita akan membaca rentetan kisah orang yang menjadi mangsa pukau ini.
Di sini ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa pukau. Antaranya:
- Sentiasa berwudhu
- Berdoa terutama ketika keluar rumah. Bacalah ayat Qursi,dan Surah Al-Muawwizat ( Surah Al Ikhlas, An Nas dan Surah Al Falaq)
- Membaca surah pendinding diri dan hendaklah diamalkan selalu iaitu surah Hud ayat 57, Surah Yasin ayat 9. Surah as Saffat ayat 6 dan surah Yunus ayat 81.
Semoga kita semua dilindungi Allah dari mara bahaya dan mengelak perkara tak diingini ini.