Catatan IPU Menurut Jabatan Alam Sekitar, Rompin Catat Bacaan ‘Sangat Tidak Sihat’

Share

Dah jadi macam satu fenomena bila mana negara kita berhadapan dengan masalah jerebu setiap tahun, terutamanya pada musim panas.

Korang mesti perasan dua, tiga hari ni cuaca tidak berapa baik. Nampak macam ‘berkabus’ je. Itu semua menandakan kawasan korang telah dilanda masalah jerebu.

Antara daerah yang dilanda jerebu teruk menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah Rompin, Pahang yang sudah mula memasuki kategori ‘sangat tidak sihat’ dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 202 setakat 10 malam tadi.

Gambar hiasan

Kawasan lain yang turut terjejas ialah Batu Muda (151) dan Cheras (147) di Kuala Lumpur; Putrajaya (144); dan Petaling Jaya (141), Shah Alam (131), Klang (114), Banting (124) serta Johan Setia Klang (159) di Selangor.

Bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Nilai (148), Seremban (124) dan Port Dickson (113) di Negeri Sembilan; Alor Gajah (108), Bukit Rambai (109) dan bandaraya Melaka (109) di Melaka; dan Tangkak (125) di Johor.

Manakala, IPU yang dicatatkan di tiga kawasan Sarawak pula tidak banyak berubah dan masih dalam kategori tidak sihat, iaitu Sri Aman (172), Samarahan (135) dan Kuching (161).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Jadi, korang dinasihatkan untuk tidak berada di kawasan luar rumah/bangunan jika tiada apa-apa urusan penting bagi mengelakkan masalah kesihatan akibat jerebu.

Lakukan beberapa amalan seperti jangan merokok, selalu membasuh tangan dan muka selepas melakukan aktiviti luar, guna topeng muka (mask) dan banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya 2 liter sehari.

Kurangkan aktiviti luar guys, paling penting utamakan kesihatan korang terlebih dahulu.

Sumber: msn.com

Published by
Noor Ain Norman