Celine Dion Hidapi Gangguan Saraf Sukar Untuk Pulih, Kenali Stiff Person Syndrome (SPS)

Share

Awal tahun ini, ikon muzik dari Kanada, Celine Dion pernah mengumumkan pembatalan konsert siri jelajahnya di Amerika Utara akibat masalah kekejangan otot teruk yang berterusan.

Konsert yang sepatutnya berlangsungan dari 9 hingga 22 April itu merupakan konsert kedua berturut-turut yang terpaksa dibatalkan oleh Celine susulan pengumuman beliau tiga bulan sebelum itu bahawa dia tidak akan kembali untuk beraksi di Las Vegas disebabkan isu kesihatan yang sama.

Belum sampai tempoh setahun, penyanyi My Heart Will Go On itu pada hari ini telah mengejutkan peminatnya sekali lagi.

Menerusi hantaran video di Instagram, Celin, 54 mengesahkan bahawa dia sedang berdepan penyakit Stiff Person Syndrome (SPS) iaitu gangguan saraf yang jarang berlaku dengan ciri penyakit autoimun. Kesemua simptom yang dihadapinya selama ini sehingga memaksa pembatalan beberapa konsertnya akhirnya terjawab.

ARTIKEL BERKAITAN : 10 Tahun Melawan Penyakit Autoimun Kronik, Bella Hadid Kongsi Rutin Ambil Suntikan

“Saya sudah lama berdepan masalah kesihatan. Sukar untuk menghadapi cabaran ini dan bercakap tentang semua yang telah saya lalui,” ulasnya dalam nada sedih.

“Kekajangan otot ini akan memberi kesan kepada seluruh hidup saya. Adakalanya, saya sukar berjalan dan ia juga memberi kesan kepada peti suara hingga menyukarkan saya untuk menyanyi seperti dahulu kala,” katanya.

Pada waktu ini, Celine sedang mendapatkan rawatan daripada pasukan doktor terbaik untuk membantunya berdepan situasi tersebut.

Disebebkan isu kesihatan ini juga, Celine terpaksa membatalkan konsert Jelajah Eropah pula yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2023 serta menangguhkan semua perancangan konsertnya sehingga 2024.

Pada musim panas 2023 sahaja, Celine sudah merancang lapan buah konsert dan kesemuanya terpaksa dibatalkan. FOTO: Alix Malka

“Saya bekerja keras dengan pasukan perubatan setiap hari untuk membina kekuatan beraksi semula. Tetapi saya akui, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Saya cuma tahu menyanyi. Ia perkara saya paling suka dan telah melakukannya sepanjang hidup. Saya sangat merindui anda semua dan rindu berada di atas pentas.

“Saya sentiasa memberi 100 peratus setiap kali membuat persembahan, tetapi keadaan sekarang tidak mengizinkan,” tambahnya lagi.

Celine Dion sewaktu menjayakan persembahan ‘comeback’ di pentas Video Music Awards 2016. FOTO: Ethan Miller

Kenali ‘Stiff Person Syndrome’

Sindrom neorologikal  yang dikenali sebagai Sindrom ‘Stiff Person’ atau SPS dilaporkan berlaku kepada 1 atau 2 individu dalam sejuta insan.

Memetik perkongsian daripada yalemedicine.org, penghidap SPS akan selalu mengalami rasa kaku pada bahagian torso, anggota badan dam kekejangan otot yang teruk sehingga boleh mengakibatkan mereka mudah terjatuh.

Seperti yang dikongsikan oleh Celine, SPS menyukarkannya untuk berjalan dan lama-kelamaan, ia boleh menyebabkannya berdepan risiko hilang upaya.

Kekejangan otot ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau dicetuskan oleh rangsangan tertentu seperti bunyi kuat, sentuhan dan tekanan emosi. Ada penghidap yang mengalami simptom ringan dan ada juga seperti Celine yang terpaksa bergantung harap kepada dos ubat yang kuat.

Kebanyakan penghidap SPS adalah mereka yang berumur 30 hingga 60 tahun.

Proses Pemulihan

Buat masa ini, masih tiada sistem perubatan yang boleh sepenuhnya menyembuhkan penghidap SPS. Pakar perubatan hanya boleh memberikan melegakan dengan pengambilan pelbagai ubat seperti sedatif, penenang otot dan steroid.

Semoga ikon kesayangan ramai ini cepat sembuh moga dapat menjayakan konsert jelajah dengan jayanya.

BACA : Miss Universe 2021, Harnaaz Sandhu Hidapi ‘Celiac Disease’. Kenali Penyakit Autoimun

SUMBER: (1) (2)


Published by
Nana