“Cemas Tembakan Dilepaskan Selepas Solat”, Pelajar Malaysia Terperangkap Kongsi Rusuhan Di Sudan

Share

Gara-gara pihak kerajaan menaikkan harga roti yang menjadi beban ekonomi kepada rakyat, negara Sudan sejak hampir dua minggu lalu menjadi huru-hara apabila rakyat mula merusuh dan memprotes tindakan tersebut.

Perusuh dan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya Khartoum dan sekitar bandar lain dan menuntut Presiden Sudan, Omar al-Bashir meletakkan jawatan. Sehingga kini 8 rakyat Sudan maut akibat rusuhan ini selain ramai cedera.

Namun apa yang mencemaskan di sebalik insiden rusuhan di negara tersebut, keselamatan 105 orang pelajar Malaysia yang menuntut di negara Sudan dilihat agak membimbangkan. Pelajar dikatakan “terperangkap” ekoran penutupan universiti yang disebabkan pergolakan yang berlaku di Khartoum, Sudan sejak 19 Disember lalu.

Kesukaran mendapatkan roti dan kenaikan harga barangan menyebabkan penduduk Sudan merusuh hingga mengakibatkan 8 kematian terjadi. Gambar AFP.

Penuntut Pengajian Islam Pengkhususan Sirah dan Dakwah, Universiti Antarabangsa Afrika, Muhammad Syamim Sazli, 24, berkata rusuhan terbabit menyebabkan kebanyakan mereka tidak dapat menghabiskan peperiksaan yang sedang berlangsung.

Katanya, jadual peperiksaan banyak tertangguh membantutkan rancangan untuk pulang ke tanah air.

“Setakat ini, seramai 10 penuntut sudah membeli tiket kapal terbang, namun kita dimaklumkan peperiksaan hanya dijangka selesai pada 16 Januari ini.

“Justeru, tiada pilihan selain menunggu penyusunan semula jadual kerana kita hanya boleh balik selepas selesai peperiksaan. Kita sedang menunggu keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Sudan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi wartawan semalam.

Rusuhan mula merebak hingga menjejaskan keselamatan penduduk luar dan pelancong yang dinasihatkan tidak datang ke Sudan dalam masa terdekat.Gambar AFP.
Protes besar-besaran ini sudah mulai merebak dan menuntut Presiden Sudan meletakkan jawatan

Mengulas lanjut, Muhammad Syamim berkata, pengalamannya berdepan dengan detik cemas rusuhan selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu agak mencemaskan.

Katanya, puluhan das tembakan dan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan untuk menyuraikan sekumpulan jemaah yang berkumpul dan melaungkan slogan penentangan terhadap kerajaan sekarang.

“Setibanya di rumah, kedengaran bunyi tembakan dilepaskan ekoran segelintir perusuh membaling batu kepada anggota keselamatan yang bertugas mengawal keadaan.

“Tidak lama kemudian, keadaan kembali normal, namun ia akan berulang kembali sebelum lokasi rusuhan diubah ke kawasan lain,” katanya.

Sementara itu Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Mohd Alif Mohd Ludin, berkata kebanyakan rakyat Sudan berpusu-pusu melakukan pengeluaran wang tunai di mesin ATM.

“Pertukaran nilai mata wang dolar Amerika Syarikat ke Pound Sudan juga agak sukar.

“Ada di antara mereka yang menawarkan untuk melakukan pembayaran menggunakan kad debit dan saya perlu membayarnya semula secara tunai semasa ke pusat beli-belah untuk membeli kelengkapan rumah baru-baru ini,” katanya.

Protes terhadap kerajaan dan menuntut Presiden meletak jawatan semakin meluas dan merebak
Kemiskinan antara penyebab wanita Sudan agak tertindas

Pelajar kita diminta pulang ke tanah air

Sementara itu, Kedutaan Sudan di Malaysia meminta 105 mahasiswa yang terperangkap untuk pulang ke tanah air ekoran penutupan universiti berpunca pergolakan di Khartoum dan beberapa bandar lain sejak 19 Disember lalu.

Dutanya, Mohamad Razdan Jamil, berkata, tidak mustahil situasi boleh menjadi lebih buruk dalam tempoh 24 jam dan pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan mahasiswa terbabit.

“Kita akan minta mereka (mahasiswa) balik kerana universiti ditutup dan keselamatan mereka adalah keutamaan kami buat masa ini. Paling penting, kita akan pastikan mereka semua selamat terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya”

” Mahasiswa turut diingatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan politik dan menjauhkan diri dari tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan, katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya terdapat 150 rakyat Malaysia yang menetap di Sudan merangkumi mahasiswa, diplomat dan ahli perniagaan.

Katanya, terdapat lima syarikat Malaysia yang beroperasi di Sudan iaitu PETRONAS, Nursyh Engineering Co Ltd, Hanas Services Co Ltd, DSV AL Anwar Trillion Gold Mining dan Beauty Bar.

“Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Sudan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Beberapa lokasi berisiko tinggi seperti Omdurman, Souq Al-Araby di Khartoum, Madani, Atbara dan Port Sudan sewajarnya dielakkan bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

SUMBER : HARIAN METRO

Published by
Almaswa Haji Che Ros