Cemerlang Dalam Kerjaya Seni & Harumkan Nama Negara, Perdana Menteri Turut Zahir Ucapan Tahniah Buat Tan Sri Michelle Yeoh

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak ketinggalan untuk menzahirkan ucapan tahniah buat Tan Sri Michelle Yeoh yang meraih trofi Oscar di Anugerah Akademi ke-95 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berharap kejayaan anak Malaysia di pentas Hollywood terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh karyawan seni di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tan Sri Michelle Yeoh Menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards Ke-95

“Saya utus tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh yang ditabal selaku Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023) menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

“Anak seni kelahiran Ipoh itu juga merupakan pelakon Asia pertama memenangi trofi utama dalam anugerah berprestij itu. Ternyata pencapaian ini amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan,” katanya menerusi sebuah ciapan di Twitter.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, turut mengucapkan tahniah kepada pelakon itu kerana memberi inspirasi kepada seluruh rakyat di negara ini.

Sementara itu, ramai rakyat Malaysia termasuk menteri serta personaliti sukan dan selebriti berkongsi rasa bangga mereka atas kejayaan aktres tersebut.

Pada awal tahun ini, bintang berusia 61 tahun itu membawa pulang trofi beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Twitter PM Anwar Ibrahim


Published by
Fath