Kiri, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi. Kanan, Jarell Cheong Tze Wen

Untuk menjadi pelajar di institusi terkemuka yang berada di bawah lembayung Universiti Harvard ini bukanlah mudah. Bukan calang-calang individu yang mampu melepasi tahap kelayakan ketat yang ditetapkan. Tergolong dalam golongan ‘ivy league university’ menjadi impian pelajar cemerlang seluruh dunia untuk meneruskan pengajian di sini.

Tahun ini menyaksikan kadar kemasukan terendah dalam sejarah kolej tersebut sejak penubuhannya 385 tahun yang lalu. Hanya 3.43 peratus sahaja pelajar yang terpilih untuk menjadi ‘class of 2025’. Dari 57,435 permohonan hanya 1,968 yang terpilih. Class of 2025 ini menyaksikan kemasukan yang dinamik dan majmuk yang mana 52.9 peratus pengambilan merupakan pelajar wanita dan 14.5 peratus pelajar berasal dari luar Amerika Syarikat.

Dua pelajar bertuah dari Malaysia yang terpilih ialah Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah dan Jarell Cheong Tze Wen merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Seri Bintang Utara. Kedua-duanya merupakan pelajar di bawah sistem persekolahan kebangsaan. Jarell meneruskan pengajian di peringkat A-levels di Kolej Sunway dan Hamdi pula meneruskan pengajian di peringkat A-levels di Kolej Tuanku Jaafar sebagai penerima biasiswa Kijang Bank Negara.

Cemerlang Dan Berwibawa. Dua Pelajar Malaysia Ini Berjaya Ke Harvard College
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Facebook Harvard College Alumni

Menurut Nadiah Wan yang merupakan alumni kolej tersebut dan juga menemuduga kemasukan, “Selain cemerlang dalam pelajaran, Jarell mewakili Malaysia dalam pertandingan Tarian, Matematik dan Catur. Hamdi pula merupakan seorang pendebat yang juga guru tuisyen kepala pelajar sekolah rendah dan merupakan seorang yang berfilosofi yang suka melontar pandangan terhadap apa yang terjadi serta isu semasa dunia.”

Ads

Seorang lagi penemuduga dan juga alumni Harvard, Nick Khaw berkongsi cerita, “Kisah Hamdi adalah kisah luar biasa yang kami harap dapat memberi inspirasi kepada orang lain. Pengalaman hidupnya yang mencabar, termasuk bekerja beberapa pekerjaan untuk menolong keluarganya memenuhi keperluan dan bersekolah di sekolah asrama untuk mengurangkan beban keluarganya, membawanya memerhatikan dan memikirkan secara mendalam tentang keadaan dunia di sekelilingnya, merenungkan kebaikan yang terbatas / berfikir dan gemar membaca naskah dari Noam Chomsky hinggalah Za’aba.

Daripada meratapi nasibnya, dia menyalurkan tenaganya ke beberapa bidang termasuk belajar bertutur dalam bahasa Inggeris dengan mengambil bahagian dalam pertandingan debat pada usia 14 tahun. Dia juga mendidik generasi berikutnya, mencurahkan masa dan usahanya untuk membimbing pelajar di sekolah luar bandar dan mengajar mereka berdebat. Dengan kelebihan dan peluang yang ditawarkan oleh Harvard College, kami sangat gembira melihat bagaimana seseorang seperti Hamdi dapat berkembang dan memanfaatkan sepenuhnya kemampuannya.”

Ads

Jarell pula merupakan individu unik yang cemerlang dalam pelbagai platform. Dia mewakili Malaysia dalam acara SEA Games Dancesport dan juga bertanding melwakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Matematik Asia Pasifik dan pertandingan catur antarabangsa. Dia merupakan pelajar yang berbakat, memperoleh semua A * dalam ujian antarabangsa Cambridge.

Ads
Cemerlang Dan Berwibawa. Dua Pelajar Malaysia Ini Berjaya Ke Harvard College
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Facebook Harvard College Alumni

“Apa yang menarik tentang Jarell adalah bahawa walaupun terdapat sekatan yang pernah kita jalani di bawah perintah kawalan pergerakan Covid-19, dia telah menemukan cara untuk meneruskan minatnya. Pada tahun lalu, dia mula mengajar kelas tarian kepada individu berusia 7 hingga 14 tahun melalui Zoom. Dia juga mengejar minatnya dalam Matematik secara bebas, melebihi apa yang diajar ketika A-levels untuk meneroka matematik berasaskan bukti. Ini menunjukkan dedikasi dan rasa ingin tahu intelektual yang melampaui kurikulum berasaskan sekolah khas”, Ujar Wan Nadiah.

Selamat berjaya kepada kedua-dua remaja ini. Semoga menjadi insan cemerlang yang bakal memimpin dan membangunkan negara dan anak bangsa suatu hari nanti.

Sumber: Twitter Nadiah Wan

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI