Cemerlang Di Pentas Antarabangsa, Wan & Mary Wakili Malaysia Ke Thai Silk International Fashion Week

Share

Wan & Mary merupakan satu jenama fesyen baharu yang kian meningkat naik di Malaysia. Sejak berjaya menjuarai rancangan realiti rekaan lima tahun lalu, jenama yang diasaskan oleh Hazzerwan Hazlee dan Maryam Musa terus melebar sayap menjadi pilihan selebriti dan personaliti popular.

Terbaharu, duo pereka ini telah menjadi wakil tunggal Malaysia untuk mempersembahkan koleksi rekaan mereka di Thai Silk International Fashion Week bersempena dengan ulang tahun ke-90 Her Majesty Queen Sirikit of Thailand dan juga Persidangan APEC Thailand. Bukan calang-calang, mereka telah menerima fabrik sutera Thailand bernilai lebih RM40’000 untuk dijadikan sebuah koleksi.

Koleksi Wan & Mary Demi Couture Spring Summer 2023 ini nyata memukau pandangan. Mereka banyak menggunakan teknik pleats, ruffles dan draping menyaksikan setiap satu rekaan memiliki persona tersendiri.

Ikuti temubual REMAJA bersama duo pereka ini. 

Ceritakan mengenai inspirasi di sebalik koleksi ini?

Koleksi yang diberi nama “La Betta” ini diinspirasikan dari Ikan Laga Siam. Kami memilih Ikan Laga sebagai subject matter untuk koleksi istimewa kali ini kerana Ikan Laga memiliki persamaan dan juga lambang keharmonian di antara Malaysia dan Thailand.

Ia merupakan haiwan peliharaan yang terkenal dari sejak dulu lagi di antara dua negara Malaysia dan Thailand. Selain itu Inspirasi ini juga melambangkan “Freedom” dan “Beauty” serta bentuk Ikan Laga itu sendiri menjadi subjek dalam olahan setiap rekaan.

Apakah perasaan anda apabila dipilih untuk mewakili Malaysia? 

Secara jujur kami sangat gembira dan bersyukur kerana dipilih sendiri oleh Pihak Wisma Putra dan Malaysia Embassy di Bangkok untuk turut serta dalam Thai Silk International Fashion Week Tahun ini sebagai wakil pereka fesyen Malaysia.

Jenama Wan & Mary adalah jenama yang masih baru dan meningkat naik. Apabila diberikan peluang seperti ini, ia menjadi satu batu loncatan buat kami untuk melebarkan sayap ke peringkat Antarabangsa. Selain itu juga kami berbesar hati dan terharu, ikon yang juga pereka idola kami iaitu Dato’ Prof Jimmy Choo OBE turut serta memeriahkan pertunjukan fesyen Kami.

Fabrik yg digunakan dari koleksi Queen Sirikit, berapakah nilai fabrik itu? Dihantar khas kepada anda dari Thailand?

Betul, fabrik yg digunakan dalam koleksi kami kali ini hampir 70% adalah mengunakan kain Thai Silk tenun buatan tangan oleh persatuan pembuat Thai Silk Textile di bawah kelolaan H.M Queen Sirikit Royal Silk Maker dan juga hill tribe artisan.

Semua Kain diberi kepada kami dua bulan sebelum pertunjukan fesyen. Kesemua fabrik tersebut dihantar sendiri ke Kuala Lumpur dengan jumlah keseluruhan kain-kain Thai Silk tersebut hampir USD10’000.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen