Aksi cemerlang yang diperagakan oleh Nur Dhabitah Sabri pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu telah menjadi salah antara faktor di sebalik pemilihan penerjun kebangsaan remaja itu sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi temasya Sukan SEA Hanoi, Mei ini.
Dhabitah, 23 yang mesra disapa sebagai Bitah bakal mengetuai kemasukan kontinjen Malaysia dalam upacara pembukaan Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei kelak.
Terdahulu pada upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Bitah pernah muncul sebagai atlet wanita pertama yang dipilih untuk menyalakan obor dalam sejarah Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA. Kalau korang masih ingat, Bitah lah yang telah ‘terbang’ untuk menyalakan obor di tengah Stadium Nasional pada waktu tersebut.
Kali ini, penghormatan lain pula telah diberikan kepadanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Selain Suka Tersenyum, Menarik Tentang Atlet Terjun Negara Dhabitah Sabri – REMAJA
Mahasiswi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini bukan saja cemerlang di Sukan Olimpik setelah menamatkan saingan dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita di kedudukan kelima terbaik.
Penampilannya sebelum ini di Sukan Komanwel 2018 Gold Coast (dua gangsa) dan Sukan Asia 2018 Indonesia (dua gangsa) juga diambil kira semasa pemilihan dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Kata Presiden MOM iaitu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sewaktu majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen Malaysia 2022 yang ditaja oleh Yonex, bukan hanya pencapaian Bitah yang wajar dijadikan pemacu semangat atlet lain. Malahan, personalit Bitah yang mudah didekati dan peramah juga dilihat melambangkan semangat kontinjen negara.
Dalam pada itu, Bitah menerusi hantaran video oleh MOM memaklumkan dirinya menyasarkan untuk memenangi dua butir pingat emas. Ia adalah menerusi acara 1 meter papan anjal individu dan acara 10 meter platform seirama.
“Terima kasih kepada MOM kerana memilih saya sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Sea Hanoi.
“Kepada anda semua, berilah sokongan kepada atlet negara. Dan buat rakan atlet yang lain, semoga maju jaya dan Malaysia Boleh!” laungnya.
All the best Bitah!
BACA LAGI : Dhabitah Sabri Kini Bergelar Mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.