Cemerlang Sukan, Aniq Kasdan Ditawar Laluan Segera Ke Peringkat Ijazah

Share

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah ini sangat sesuai penulis gambarkan dengan kejayaan yang mengiringi atlet sukan angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan.

Dia yang baru-baru ini memenangi emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel 2022 yang berlangsung di Birmingham telah diberikan laluan segera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah oleh Universiti Teknologi MARA.

Anak jati Johor Darul Takzim kini merupakan pelajar luar kampus Diploma Pengurusan Sukan di universiti berkenaan hasil kerjasama pintar bersama Majlis Sukan Negeri Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali Aniq Kasdan, Pemenang Emas Pertama Malaysia Di Sukan Komanwel 2022

Hal ini telah diumumkan sendiri oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor. Beliau memberitahu bahawa inisiatif ini bertujuan menghargai pencapaian Aniq yang menaikkan nama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UiTM di peringkat antarabangsa.

“Jika sebelum ini setiap pelajar yang berjaya memenangi pingat di peringkat antarabangsa akan dianugerahkan hadiah wang tunai RM1,000 dan selepas ini UiTM bercadang menaikkan jumlah hadiah wang tunai berkenaan,” katanya.

Kredit foto: Bernama

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, kelayakan laluan khas terus ke peringkat ijazah sarjana muda ini digunakan melalui Anugerah Kelayakan Akademik (APEL) berdasarkan pengalaman bekerja dan pembelajaran terdahulu yang diluluskan dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dr Roziah menerangkan lagi bahawa kelayakan ini julung kali diperkenalkan oleh UiTM selepas lebih 20 tahun Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi diperkenalkan dan memenangi pingat emas pertama di peringkat Komanwel.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen