Cemerlang Sukan & Pelajaran, Azeem Fahmi Bakal Pilih Antara 2 Universiti Di Amerika Syarikat Sebagai Destinasi Pengajian

Share

Seperti yang pernah disiarkan menerusi artikel REMAJA sebelum ini, Azeem Fahmi merupakan seorang atlet muda yang menempa kejayaan sama naik dalam dalam bidang sukan dan akademik.

Anak jati Perak ini sudahpun mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sekaligus mendapat peluang untuk berlatih bagi memperhebatkan lagi skil lariannya.

Terbaharu, Azeem yang ketika itu ditemui pihak media di lapangan terbang sebaik sahaja tiba dari Colombia berkongsi mengenai keputusannya untuk menyambung pengajian ke Amerika Syarikat. Kongsinya, dia sudahpun mendapat tawaran ke University of Houston yang terletak di Texas ataupun Auburn University yang terletak di Alabama.

ARTIKEL BERKAITAN:Azeem Fahmi Cipta Rekod Baharu 100m Malaysia, Catat Masa 10.09 Saat

“Di Houston, komuniti Islam di sana besar yang mana sedikit sebanyak dapat membantu saya dan menjamin keadaan saya di sana. Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan ramai jaguh pecut bertaraf dunia.

“Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut dilahirkan di universiti itu. Ia juga terkenal kerana ketua jurulatihnya adalah Carl Lewis,” ujarnya. Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Carl Lewis merupakan pemenang pingat emas Olimpik sebanyak sembilan kali dan ini menjadi kelebihan bagi pelari pecut berusia 18 tahun ini untuk mendapat bimbingan terbaik.

Walaupun begitu pemegang rekod baharu acara pecut 100-meter kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat ini turut mepertimbangkan untuk ke Auburn University dek kerana kecemerlangan akademik yang ditonjolkan oleh universiti berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SMK Puteri Titiwangsa, Ng Joe Ee Cemerlang Sumbang 2 Pingat Emas Untuk Malaysia

“Baru-baru ini saya juga mendapat tawaran daripada Universiti Auburn di mana mereka lebih bagus dari segi akademik berbanding universiti-universiti lain. Setakat ini, dua universiti tersebut berada dalam fikiran saya sekarang.

“Kedua-dua universiti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Bagaimanapun, kedua-dua universiti ada dalam divisyen satu (saingan olahraga AS), jadi ia beri peluang kepada saya untuk menyertai kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Berlian,” kongsinya lagi.

Belum lagi membuat keputusan universiti mana yang bakal bakal dipilihnya, Azeem berkata lagi bahawa dia akan melakukan perbincangan bersama keluarga serta jurulatih untuk membuat keputusan yang terbaik bagi masa depannya.

REMAJA mengucapkan Syabas kepada Azeem dan semoga terus menjadi contoh terbaik kepada anak muda Malaysia di luar sana yang turut mahu bergiat aktif sebagai seorang atlet.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen