CEO Apple Ingin Hulur Sumbangan Kepada Mangsa Banjir, Ini Respon Netizen Malaysia

Share

Malaysia telah memasuki hari kelima dalam menangani bencana alam banjir di beberapa buah negeri.

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia berkata hujan berterusan di Malaysia pada akhir tahun ini sedikit sebanyak terkesan daripada tempias Taufan Rai yang melanda Filipina dan kini melanda Vietnam.

ARTIKEL BERKAITAN : Hujan Berterusan Punca Banjir, TAPI Malaysia Masih Dianggap Negara Bertuah Di Asia Tenggara – REMAJA

Taufan Rai disifatkan sebagai taufan paling teruk melanda Filipina tahun ini dan telah memakan ratusan korban nyawa.

Sama ada di mana-mana negara yang terlibat, bencana kali ini telah mendatangkan kesan yang mendalam dengan laporan kehilangan harta benda, tempat tinggal dan bilangan ahli keluarga dalam kalangan mangsa.

Ia sekaligus telah meraih perhatian masyarakat dunia yang turut bersimpati dengan nasib rantau Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini. Difahamkan, selain rakyat di Malaysia sendiri yang gigih mengulurkan sumbangan, beberapa pihak antarabangsa juga telah tampil ke hadapan untuk membantu.

Ini termasuklah daripada Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook. Menerusi ciapan di akaun Twitter-nya, beliau menyampaikan rasa simpati terhadap implikasi Taufan Rai kepada negara Filipina dan Malaysia.

Sambil itu, beliau mengesahkan bahawa syarikat Apple akan menyumbang bagi meringankan beban, membaik pulih dan berusaha untuk membantu pembangunan jangka panjang.

Rata-rata warganet Malaysia mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan syarikat teknologi gergasi itu.

Namun pada masa yang sama, tidak kurang juga yang menyeru agar bantuan tidak dihulurkan melalui kerajaan Malaysia. Sebaliknya mereka berharap agar ia dihulurkan melalui organisasi bukan kerajaan di Malaysia atau NGO.

Menariknya, warganet Filipina juga bersetuju dengan seruan tersebut dan berharap agar bantuan yang bakal diberikan kepada Filipina  adalah menerusi NGO di sana. Mereka enggan sumbangan disalahguna atau lebih malang, jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Nampaknya, rasa muak rakyat terhadap tindakan lambat yang diambil oleh pihak kerajaan pada kali ini telah meluap-luap! Tidak hairanlah tanda pagar #RakyatJagaRakyat tidak pernah terlepas daripada menjadi 5 topik paling trending

pada setiap hari sejak Sabtu lalu.

Sejak banjir besar melanda negara pada 18 Disember 2021, ia telah merekodkan angka korban mencecah 34 nyawa sekaligus menjadi jumlah kehilangan nyawa tertinggi dalam bencana alam sejak banjir besar 2014. Dua puluh tiga mangsa dicatatkan di Selangor manakala 11 mangsa lagi di Pahang.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Tim Cook

Published by
Nana