Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila selebriti, Bella Astillah mengenakan uniform pramugari Malaysia Airlines dalam satu majlis bertemakan kerjaya sempena hari jadi salah seorang ahli keluarganya. Seperti yang kita tahu, uniform tersebut bukanlah boleh dipakai sesiapa sahaja sewenang-wenangnya dan menjadi kesalahan juga bagi pramugari membenarkan orang lain memakai uniform milik mereka itu.
Alhamdulillah, kes itu telah selesai dengan Bella pun sudah meminta maaf kerana mengenakan busana itu tanpa menyelidik selebih dahulu etika yang betul bersama pihak pengurusan syarikat penerbangan negara itu. Ada hikmahnya juga, uniform ini menjadi bualan ramai dan kita sendiri rindu akan suasana di lapangan terbang melihat pramugari sibuk mengejar jadual mereka dan juga layanan yang molek di atas awan. A true Malaysia Hospitality.
SEJARAH UNIFORM
Untuk pengetahuan semua kebaya ikonik ini memiliki sejarah yang panjang seiring dengan perkembangan Malaysia Airlines sejak awal penubuhannya. Sejarah syarikat penerbangan ini bermula dengan nama Malaysan Airways Limited pada 1946 dan bertukar menjadi Malaysia-Singapore Airlines (MSA) pada tahun 1966 ketika keluarnya Singapura dari Malaysia untuk menjadi negara yang bebas.
Kemudian syarikat yang bermula sebagai satu entiti tersebut menjadi dua entiti berbeza yang dikenali sekarang Singapore Airlines dan Malaysia Airline System pada tahun 1972. Masing-masing membawa haluan sendiri sebagai satu entity baharu.
Mesti anda tertanya-tanya siapakah yang mewarisi uniform asli MSA selepas perpecahan berlakukan?
Singapore Airlines mewarisi uniform asal berkenaan manakala Malaysia Airlines pula perlu bermula semula dengan rekaan kebaya yang lain. Rekaan kebaya asal pramugari MSA bukanlah hasil rekaan orang tempatan kita sebaliknya direka oleh pereka terkemuka dunia, Balmain. Rekaan tersebut masih lagi digunakan oleh pramugari Singapore Airlines atau lebih popular dengan gelaran Singapore Girls sehingga hari ini.
EVOLUSI KEBAYA
Malaysia Airlines hadir dengan rekaan kebaya sendiri dengan busana kebaya dengan serlahan corak berona biru gelap, coklat dengan serlahan rona merah terang dan getika itu ia dikenali sebagai era ‘Golden Girls’ hasil rekaan pereka tempatan, Andy Chiew yang memenangi pertandingan mereka busana untuk syarikat penerbangan negara ketika itu.
Evolusi demi evolusi berlaku dan sehingga kini empat rekaan sudah dilalui, rekaan busana kebaya Malaysia Airlines yang terkini merupakan hasil rekaan Jabatan Seni Reka Fesyen, Institut Teknologi MARA (Kini dikenali sebagai UiTM) pada tahun 1986. Warna rona hijau gelap dan bunga rona merah jambu berteraskan motif daun kelarai, bunga cempaka, bunga melur dan daun bunga raya menjadi corak unik yang melambangkan negara kita yang berbilang kaum dan mewah dengan flora yang cantik.
Pada tahun 2016, pengurusan syarikat penerbagan negara ini pernah mengumumkan bahawa mereka akan menukar kebaya ini dan rekaan baharu oleh pereka fesyen terkemuka negara, Dato’ Seri Farah Khan. Namun idea tersebut mendapat tentangan dan kritikan hebat rakyat Malaysia dengan menyifatkan bahawa uniform yang sedia ada sudah cukup ikonik dan melambangkan Malaysia. Sehingga kini uniform yang direka kira-kira 34 tahun lalu ini masih lagi kekal dan semoga selepas pandemik Covid-19 ini berakhir, kita akan melihat kebaya ini terbang tinggi menjadi duta kecil negara tersayang ini.
***P/S- Rindu suasana dalam pesawat Malaysia Airlines apabila mahu kembali ke negara ini usai mengembara, dengan pramugari yang sangat ramah dan ucapan ‘and to Malaysians welcome home’ oleh kapten. Nothing can beat Malaysian Hospitality!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: kanggatheren-manogaran.blogspot.com, scmp.com, malaysiaairlines.com