Semalam tular satu kisah keluarga yang tinggal di dalam kereta di Hentian Rawat dan Rehat Sungai Buloh, Selangor. Menurut cerita, keluarga ini terpaksa keluar dari rumah sewaan mereka di Bukit Beruntong, Hulu Selangor kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Kisah ini tular sehingga mendapati simpati netizen. Ada yang menyalahkan pihak berkuasa agama khususnya Lembaga Zakat kerana gagal membantu, begitu juga dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turut mendapat tempiasnnya.
Disebalik tularnya kisah keluarga ini, ada penjelasan penuh mengenainya. Semoga penjelasan ini membuktikan bahawa keluarga ini sebenarnya pernah cuba dibantu pihak berkuasa bukan seperti didakwa netizen. Baca kisah sebenar mengenai kisah keluarga ini. Lembaga Zakat Selangor berkongsi tulisan Said Azlan mengenai kisah keluarga ini. Baca sini.
“Petang semalam kecoh lagi pasal satu keluarga dipercayai tidur dalam kereta. Keluarga yang sama dijumpai di restoran sambal hijau, Petronas Sungai Pencala.dan terkini di R&R Sungai Buloh.
Seperti biasa dalam ruangan komen Tuan punya posting, Institusi Islam iaitu Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat – JKMHQ teruk dikecam.
Biiar saya jelaskan kronologi kes keluarga ini.
**********
5 Februari 2018
Sahabat saya memaklumkan tentang satu keluarga dipercayai tidur dalam kereta di Petronas Sungai Pencala dan tiada tempat tinggal. Atas kapasiti AJK dalam Pertubuhan Shah Alam Komuniti (SAKOM) – NGO Berdaftar saya rasa terpanggil untuk membantu.
Kami hubungi pihak JKM dan juga Lembaga Zakat Selangor. Sebelum itu kami telah pun membeli makanan kerana menurut anaknya mereka belum makan. Kami menunggu ketibaaan pegawai JKM.
Sebelum ketibaan pegawai tersebut, saya bertanyakan beberapa soalan. Berikut adalah cerita mereka.
**********
Lelaki ini tidak mempunyai kad pengenalan. Hanya memegang dokumen Surat sumpah lewat daftar kelahiran. Bapanya berasal dari Indonesia dan telah pun mempunyai kad pengenalan Malaysia. Namun kelahiran lelaki ini tidak didaftarkan.
Wanita ini pula adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai kad pengenalan Malaysia. Mengikut katanya bercerai kerana penderaan oleh suami terdahulu. Kes mereka pernah dilaporkan di JKM dan bantuan diberi oleh JKM setiap bulan selama ini. Difahamkan, wanita ini tidak pernah menerima duit tersebut kerana kad bank dipegang oleh bekas suami.
Mereka dihalau dari rumah sewa di Bukit Ber untung kerana gagal menjelaskan sewa rumah. Difahamkan mereka tidak pernah memohon bantuan zakat kerana lelaki tersebut tidak mempunyai kad pengenalan.
Ini kisah yang saya dengar dari mulut mereka sendiri.
**********
Pihak JKM tiba di Petronas Sungai Pencala dan melakukan siasatan. JKM mengesahkan yang nama wanita tersebut ada dalam senarai penerima bantuan. Setelah dimaklumkan yang dia tidak pernah dapat wang tersebut, pihak JKM menghubungi Ibu Pejabat dan minta bantuan dihentikan.
Bimbang anak mereka diambil oleh JKM, keluarga ini menelefon adik ipar mereka untuk menumpang rumah. Mereka bersetuju dan pihak JKM bersama keluarga ini telah menunggu ipar mereka di Tol Sungai Buloh.
**********
Selepas selesai perkara ini, saya muat naik satu status di laman sosial. Ada netizen yang mengatakan keluarga ini pernah tidur dan mandi di belakang restoran Sambal Hijau Sungai Pencala dan pernah isu ini viral dalam beberapa bulan lepas.
*****
Pegawai Zakat Daerah Petaling ada menghubungi saya bertanyakan tentang mereka. Saya maklumkan yang pihak JKM telah menyelesaikan isu ini bila keluarga tersebut bersetuju untuk tinggal bersama ipar mereka. Saya maklumkan jika ada bantuan yang diperlukan saya akan hubungi pegawai zakat itu semula.
Pihak JKM pula sering membuat panggilan ke telefon si lelaki bagi memastikan keluarga ini berada dalam keadaan yang baik.
Terbaru, pihak JKM ada menghubungi lelaki tersebut dan bertanyakan tentang keadaan mereka. Mengikut kata lelaki ini mereka telah pun berpindah ke rumah abang mereka di Klang, Selangor.
Pihak JKM telah pun meminta alamat di Klang agar pegawai mereka dapat berjumpa dan memberi bantuan. Malangnya, lelaki ini enggan memberi kerjasama. Mungkin bimbang hak penjagaan anak mereka diambil oleh pihak JKM.
Petang ini pula viral kembali kisah mereka.
Persoalan yang timbul :
1.Mengapa keluarga ini tidak bersiap jujur dengan Pihak JKM?
2. Jika benar mereka tiada tempat tinggal sudah pasti mereka boleh dibantu.
3. Cerita yang mereka sering sampaikan sering berubah-ubah.
4. Mungkinkah jika hidup begini mereka lebih mudah mendapat bantuan kewangan dan simpati dari orang ramai ?
Pihak JKM dan Lembaga Zakat Selangor mahu membantu mereka. Namun, jika begini sikap yang ditunjukkan adalah lebih baik pihak JKM mendapatkan hak penjagaan anak anak ini demi masa depan mereka.
Buat netizen diluar sana yang mengecam JKM dan Lembaga Zakat, anda sedang menyerang sebuah institusi Islam walhal anda tidak pernah tahu kisah sebenar.
Sekiranya anda terjumpa mana mana keluarga yang berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kehidupan bawa mereka ke pusat zakat berhampiran atau berjumpa dengan mana mana amil yang dilantik dalam kariah tersebut.
Mereka akan berusaha untuk membantu.
Semoga dengan sedikit perkongsian ini akan dapat meleraikan apa yang terjadi.
Wallahualam.”
Kredit: Said Azlan