Chef Asal Pulau Pinang Tonggak Di Sebalik Restoran 1 Bintang Michelin Di Singapura

Share

“Apabila anda memilih untuk makan di Thevar, anda akan mendapat banyak masakan yang biasa korang lihat kerana ia mewakili kepelbagaian rasa masakan India di Semenanjung Malaysia.”

 

Apabila seseorang individu kelahiran Malaysia menempah kejayaan di luar negara, tentunya REMAJA tumpang bangga dengan kisah mereka dalam memburu impian.

Satu nama baharu yang mencuri tumpuan kami ialah Manogren Murugan Thevar yang kini bergelar chef di restoran miliknya berstatus 1 Bintang Michelin di Singapura, Thevar.

Sejak kecil, Manogren atau lebih mesra dengan panggilan Mano membesar dengan masakan India. Dia sentiasa tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai variasi makanan sewaktu kecil apabila ibu bapanya sering membawanya keluar menjamu selera di lokasi berbeza sekitar Pulau Pinang.

Dari situlah, Mano jatuh cinta dengan pelbagai jenis masakan Melayu, India dan China.

Lalu, Mano memilih kerjaya dalam bidang seni kulinari. Dia mendapat latihan secara rasmi dalam penyediaan masakan Perancis selama bertahun-tahun di restoran Guy Savoy dan Waku Ghin yang diiktiraf dengan Bintang Michelin; sebelum berjaya membuka restorannya sendiri, Thevar pada tahun 2018.

Cuma, apa yang menjadikan kisah kejayaan Thevar ini lebih menarik adalah kerana Mano tidak pernah pun menyediakan masakan India sebelum ini.

Pada usia 29, Mano menghabiskan masa sebulan menjelajah negara India untuk meningkatkan apresiasi deria rasanya terhadap masakan India.

Sumber Foto : Michelin Guide

Biarpun REMAJA secara peribadinya belum pernah ke Thevar, Singapura untuk merasai sendiri keunikan rasa masakan Mano, chef itu menerusi temubualnya dengan Michelin Guide mengungkap masakan di Thevar sebagai, “Masakan moden India yang disediakan dengan teknik Perancis serta mempunyai keunikan masakan Semenanjung Malaysia.”

Sumber Foto : Instagram thevar.sg

Rasa masakan dan cara Mano menyediakannya dijamin asli kerana menu tersebut dicipta khas olehnya menggunakan pengalaman serta teknik yang diasahnya sendiri.

Segala usaha keras Mano dalam membangunkan Thevar akhirnya mendapat berbaloi apabila restoran itu dianugerahkan pengiktirafan Bintang Michelin pertamanya dalam senarai MICHELIN Guide Singapore 2021 pada tahun lalu.

“Saya berharap, dengan cara saya sendiri, saya boleh membanggakan budaya saya.”

Tahniah Chef Manogren!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ